50 peratus calon mukabaaharu BN Perak demi khidmat terbaik untuk rakyat





LUMUT, 25 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak menampilkan hampir 50 peratus calon muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai proses transformasi untuk lebih yakin memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemilihan calon-calon baharu itu dibuat berdasarkan semangat musyawarah dan dinilai secara teliti bagi memastikan hanya calon yang layak mewakili BN.

"Penilaian dibuat oleh pucuk kepimpinan dan kita rasakan bahawa perubahan 50 peratus (muka baharu) itu akan membawa BN untuk penuh keyakinan dan memberikan khidmat lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hak Milik Strata Kepada Pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Daerah Manjung Tahun 2018 di Apartment Bukit Permata di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zambry menyerahkan hak milik strata kepada tujuh JMB dari enam pangsapuri yang melibatkan 1,171 unit di kawasan sekitar Manjung.

Mengulas mengenai pencalonannya di dua kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, beliau berkata ia bukanlah tiket bagi dirinya untuk bersikap angkuh dan sombong tetapi merupakan satu tanggungjawab dan amanah dalam memberikan khidmat terbaik di kawasan tersebut.

"Saya dengan penuh insaf menerima tanggungjawab ini untuk saya dan kita bersama-sama membantu memakmurkan Perak," katanya.

Sementara itu, Zambry turut berterima kasih kepada bekas wakil rakyat yang menerima keputusan parti dengan hati terbuka dan bersedia memberi laluan kepada calon lain untuk bertanding pada PRU14.

"Saya berterima kasih kepada mereka. Ada di kalangan mereka menyuarakan sendiri untuk tidak bertanding, ada di kalangan mereka yang menerima keputusan parti dengan hati terbuka untuk beri laluan kepada calon lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry enggan mencampuri urusan Parti Progresif Penduduk Malaysia (myPPP) dan yakin parti itu dapat menyelesaikan krisis yang dihadapi.

Bagaimanapun, Zambry menjelaskan myPPP tiada kerusi di Perak adalah berdasarkan keputusan yang dibuat secara musyawarah bersama rakan dan pemimpin lain dalam BN.

"Walaupun sebelum ini ia (MyPPP) diperuntukkan satu kerusi, tapi kali ini kita adakan perbincangan dan mereka bersetuju dan itulah yang diumumkan," katanya.

Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy hari ini berkata parti telah memecat presidennya Tan Sri M. Kayveas semalam selepas mendapati beliau mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti dan Barisan Nasional (BN).

Kayveas pula mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden myPPP, Pengerusi myPPP Wilayah Persekutuan dan penasihat myPPP Perak menerusi beberapa laman media sosial dan menyatakan peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 23 April.

-- BERNAMA