800 buah rumah untuk rakyat akan dibina di Hulu Besut jika BN menang
BESUT, 25 April (Bernama) -- Kira-kira 800 buah rumah bakal dibina untukpenduduk Hulu Besut sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat memerintah negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata kerajaan pusat dan negeri juga telah meluluskan peruntukkan lebih RM70 juta bagi melaksanakan projek perumahan tersebut.
Katanya, yang terbaru ialah pembinaan Rumah Bina Negara (RBN), membabitkan 100 buah rumah dengan nilai RM75,000 setiap sebuah yang mempunyai keluasan 3,000 kaki persegi setiap satu di tapak seluas 700 kaki persegi di Bukit Maaduna, Bukit Payong, Hulu Besut.
Sebelum ini, 362 unit membabitkan 188 unit rumah kos rendah dan 174 unit kos sederhana juga telah diluluskan pembinaannya di Kampung Bukit China , Pasir Akar, Hulu Besut.
Nawi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut, berkata demikian selepas melakukan upacara pecah tanah pembinaan RBN yang akan dikendalikan oleh Felcra Properties Sdn Bhd di Bukit Maaduna, Bukit Payong, Hulu Besut, di sini hari ini.
Menurutnya, pembersihan tapak bagi kedua-dua projek perumahan itu telah pun dilakukan dan dijangka kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas pilihan raya ini.
Nawi berkata semua projek perumahan itu akan dijual kepada penduduk tempatan yang masih tidak mempunyai rumah dengan keutamaan diberikan untuk belia yang berumur antara 18 hingga 45 tahun dan berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.
Beliau turut memberitahu rancangan bagi pembinaan projek perumahahan juga sedang dirancang di Kampung Alor Keladi dengan jumlah 300 buah rumah akan dilakukan selepas pilihan raya ini.
Antara projek lain yang telah dilaksanakan Barisan nasional (BN) ialah pembinaan Ampangan Paya Peda bernilai RM450 juta yang kini memberi kemudahan kepada lebih 5,000 petani di daerah Besut, pembinaan jalan raya dari Padang Tapong ke Keruak dan dari Kampung La ke kawasan perkelahan Lata Tembakah bernilai RM4.6 juta dan pembinaan Kilang Padi di Kampung Masin bernilai RM30 juta.
Selain itu, Nawi berkata terdapat juga yang melibatkan sektor perlancongan seperti Pusat Agropelancongan di Kampung Darau dengan kos RM20 juta, pembinaan jambatan baharu dari Pasir Akar ke Durian Telur bernilai RM20 juta dan penambahbaikan pusat pelancongan di Lata Tembakah, La Hot Spring dan kawasan Rekreasi Baharu di Pak Sitong.
-- BERNAMA