Veteran UMNO Terengganu lancar kempen 'Keluargaku Pengundi BN'





KUALA NERUS, 25 April (Bernama) -- Bagi memastikan kemenangan semua 40 calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di negeri ini, Kelab Veteran UMNO Negeri Terengganu hari ini melancarkan kempen 'Keluargaku Pengundi BN'.

Kempen itu, yang melibatkan kesemua 20,000 anggota itu di lapan kawasan Parlimen dan 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, adalah bukti sokongan penuh Kelab Veteran UMNO Negeri Terengganu terhadap BN.

Setiausaha kelab itu Razak Deraman berkata dengan pengumuman itu, pihaknya mahu berusaha memastikan setiap rumah anggota veteran sendiri mempunyai sekurang-kurangnya enam undi untuk BN.

"Veteran UMNO akan memastikan sekurang-kurangnya empat anak dan menantu anggota mengundi BN. Saya memberi jaminan di Parlimen Kuala Nerus ini, BN akan mendapat minimum 6,000 undi dari keluarga veteran tetapi kita yakin, jumlah sebenar jauh lebih besar daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen itu dan pengagihan 1,000 pelekat kepada veteran UMNO Parlimen Kuala Nerus di sini, hari ini.

Razak yang juga Anggota Majlis Tertinggi Veteran UMNO berkata pihaknya juga akan memastikan semua pengundi yang menyokong BN akan keluar beramai-ramai mengundi pada 9 Mei ini.

-- BERNAMA