PBS ikrar beri sokongan padu kepada calon BN Labuan




LABUAN, 25 April (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) berikrar akan membantu calon Barisan Nasional (BN) Labuan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini dengan majoriti yang besar.

Ketua PBS Bahagian Labuan Datuk Peter Mak berkata penyandang kerusi itu Datuk Rozman Isli mempunyai hubungan rapat dengan penduduk Labuan dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menangani pelbagai isu melibatkan kesejahteraan mereka, termasuk arah tuju ekonomi pulau bebas cukai ini sejak lima tahun lepas.

"Beliau mempunyai kredibiliti dan berpengalaman dalam menangani pelbagai perkara, manakala pencabarnya (pembangkang) mungkin tidak langsung dikenali," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berpendapat pengundi tidak akan memilih calon yang tidak mereka kenali dan ini akan membolehkan Rozman mempertahankan kerusi itu dengan mudah pada PRU14 nanti.

"Beliau dicalonkan semula untuk bertanding kali ini kerana berdedikasi, berwibawa dan bersih," kata Mak.

Beliau bagaimanapun menggesa semua pemilih di sini supaya keluar untuk mengundi pada 9 Mei ini bagi membolehkan BN terus membawa pembangunan di Labuan.

"Sebagai hab minyak dan gas serta kewangan antarabangsa, Labuan sedang menuju ke arah mencapai kedudukan ekonomi yang berkembang dengan rancak.

"Kita tidak sepatutnya ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi. Oleh itu, majoriti besar diperlukan (BN) bagi memastikan wujudnya pembangunan berterusan di pulau Wilayah Persekutuan ini," katanya.

PBS Bahagian Labuan mempunyai kira-kira 2, 900 anggota daripada pelbagai kaum untuk membantu memperkukuhkan jentera BN di sini.

Mak berkata PBS pernah menjadi pembangkang dan kembali semula ke pangkuan BN kerana ia berpendapat BN adalah alternatif terbaik untuk memperjuangkan hak rakyat dan pembangunan berterusan.

Pada PRU14, Rozman dijangka bersaing dengan calon PAS, Warisan, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

-- BERNAMA