Lebih 10,000 hadir pelancaran Manifesto BN Sabah 
KOTA KINABALU, 25 April (Bernama)-- Lebih 10,000 penyokong Barisan Nasional (BN) membanjiri Kompleks Sukan Likas di sini, malam ini, untuk majlis pelancaran manifesto BN Sabah bertemakan ' Tanah Airku Maju' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU4), 9 Mei ini.
Majlis itu menyaksikan BN Sabah mengemukakan 20 komitmen dalam manifesto yang dibentangkan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Musa Aman.
Musa menyifatkan kehadiran ribuan penyokong BN dari seluruh negeri serta semua pemimpin parti komponen BN Sabah itu memperlihatkan sokongan padu rakyat terhadap BN untuk terus menerajui kerajaan negeri selepas PRU14 ini.
"Rakyat sedar bahawa hanya kerajaan BN amat bertanggungjawab kerana tahu kita akan tunaikan aku janji PRU14 ini demi kesejahteraan penduduk dan kemajuan negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata manifesto itu adalah yang terbaik dan akan membantu Sabah menuju ke arah pelaksanaan pelbagai bidang yang menjadi tumpuan dan kehendak rakyat Sabah.
Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, juga yakin manifesto itu akan menguatkan lagi ekonomi negeri yang pastinya akan mewujudkan pelbagai bidang pekerjaan, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan manifesto tersebut menepati cita rasa dan memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat negeri itu.
Penyandang kerusi Parlimen Tuaran itu berkata kesemua komitmen dinyatakan dalam manifesto tersebut sudah pun dilaksanakan selama ini, namun, ia terus dipertingkatkan dan diperkukuh demi kemaslahatan rakyat Sabah.
Ini termasuk komitmen memastikan satu sistem penyampaian berkesan dalam urus tadbir tanah; penyelesaian terhadap masalah pendatang tanpa izin; dan mempelbagai sumber ekonomi Sabah, katanya.
"Inilah manifesto dan Aku Janji terbaik yang pernah ditawarkan kepada rakyat Sabah... Rakyat Sabah akan menerima manfiesto ini sekali gus memberi sokongan kuat dan kukuh kepada BN," katanya.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang berkata pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang terkandung dalam manifesto itu adalah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina.
"Pengiktirafan sijil UEC bertujuan sebagai memenuhi syarat untuk menyertai perkhidmatan awam negeri. Hal itu merupakan satu langkah besar untuk kita," katanya.
Teo menambah aku janji mengenai satu unit yang bakal ditubuhkan di bawah Jabatan Ketua Menteri merupakan satu idea yang cukup baik selaras dengan masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan agama.
Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri, Datuk Gordon Leong menyambut baik aku janji dalam Manifesto BN Negeri itu untuk menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Ketua Menteri yang akan bertanggungjawab terhadap hal ehwal rakyat bukan Islam di negeri ini.
Beliau juga terharu dengan kehadiran ramai penyokong pada majlis pelancaran manifesto itu dan berharap manifesto itu diterjemahkan kepada undi untuk kemenangan BN pada PRU14 ini.
Pengerusi Pemuda BN Sabah, Hafez Yamani Musa berkata komitmen memperkasa pembangunan golongan muda Sabah dinyatakan dalam manifesto itu adalah hasil aspirasi menerusi program jelajah Tranformasi Nasional 2050 (TN50) dan Kolokium Orang muda yang diadakan di sini.
Beliau berkata aspirasi orang muda itu antara lain merangkumi komitmen menyediakan pekerjaan dan rumah mampu milik di samping mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia sebagai landasan mereka menyuarakan perkara penting berkaitan pembangunan negeri.
-- BERNAMA