PKR tanding enam Kerusi Parlimen,10 DUN di Kedah




ALOR SETAR, 25 April (Bernama) -- PKR akan bertanding di enam kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Pengumuman senarai calon itu dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Kedah Dr Abd Rahman Ahmad pada majlis memperkenalkan semua calon pakatan itu di sini, malam ini.

Turut hadir Pengerusi PH negeri ini merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Abdul Rahman berkata Pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kedah manakala Penasihat PKR negeri Datuk Johari Abdul juga mahu mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Petani selain bertanding kerusi DUN Gurun.

Kerusi Parlimen Alor Setar pula akan ditandingi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis Chan Ming Kai, Ketua Wanita Keadilan Kedah Nur Azrina Surip@Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok), Ketua Cabang Keadilan Padang Serai M. Karupaiya (Parlimen Padang Serai) dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Parlimen Kulim-Bandar Baharu).

Calon lain DUN ialah Ketua Cabang Keadilan Padang Terap Hashim Idris yang bertanding di Pedu, Setiausaha Keadilan Kedah Che Mat Dzaher Ahmad (Bukit Pinang), Naib Pengerusi PKR negeri Zamri Yusof (Suka Menanti), R. Summugam (Bukit Selambau), Pengarah Komunikasi PKR Kedah Ooi Tze Min (Bakar Arang) dan Ketua Cabang Keadilan Sungai Petani Robert Ling Kui Ee (Sidam)

Ketua Penerangan PKR Kedah Mohamad Sofee Razak pula akan bertanding kerusi DUN Kuala Ketil, Anggota Jawatankuasa PKR Kedah Azman Nasrudin (Lunas) dan Naib Ketua Cabang Kulim-Bandar Baharu Yeo Keng Chuan (Kulim), katanya.

Dalam pada itu, calon DAP hanya bertanding di dua kerusi DUN iaitu Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew dan Setiausaha Eksekutif DAP Kedah Teh Swee Leong dengan masing-masing akan menjadi calon di DUN Derga dan Kota Darul Aman.

Pakatan Harapan akan bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN di negeri ini.

-- BERNAMA