PRU14: Musa dan tiga presiden parti komponen BN pertahan kerusi




KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman daripada UMNO dan presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, kecuali Tan Sri Joseph Kurup akan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Kurup yang juga Presiden PBRS memberi laluan kepada anaknya Arthur Joseph Kurup untuk bertanding kerusi Parlimen Pensiangan yang disandangnya pada PRU13.

Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pula hanya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan melepaskan kerusi Parlimen Keningau yang akan ditandingi Naib Presiden PBS Datuk Daniel Kinsik.

Musa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Sabah akan mempertahankan kerusi DUN Sibuga. Presiden UPKO yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran manakala Presiden LDP yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang (DUN Tanjong Kapor).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak diberi kepercayaan bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang berpindah ke kerusi Parlimen Sepanggar.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dan Kota Marudu.

Pengumuman nama-nama calon BN bagi kerusi Parlimen dan DUN berkenaan dibuat oleh Musa pada satu majlis di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Papar, Beaufort, Silam dan Tawau.

Penyandang kerusi Parlimen yang diberi kepercayaan oleh BN untuk mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Dr Marcus Mojigoh (Putatan), Datuk Dr Ewon Ebin (Ranau), Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Mohd Zakaria Edris (Libaran) dan Datin Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi).

Turut mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13 ialah Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan).

BN Sabah turut menampilkan muka-muka baharu untuk bertanding kerusi Parlimen iaitu Datuk Joseph Lee (Kota Kinabalu) dan Caesar Mandela Malakun (Penampang). Yamani Hafez Musa pula menggantikan penyandang kerusi Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad yang akan bertanding di kerusi DUN Sindumin.

Calon muka baharu lain yang diketengahkan BN bagi kerusi Parlimen pada PRU14 ialah Datuk Daniel Kinsui (Keningau) dan Datuk Lim Ming Ho (Sandakan).

Dua penyandang kerusi DUN berpindah ke Parlimen iaitu Datuk Rubin Balang (DUN Kemabong) akan bertanding kerusi Parlimen Tenom dan Datuk Ramlee Marahaban (DUN Bugaya) ke Semporna.

Di peringkat DUN, dua lagi Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Datuk Seri Yahya Hussin masing-masing sekali lagi diberi kepercayaan oleh BN untuk mempertahankan kerusi Tanjong Papat dan Petagas.

Anak kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai, Razak Tun Sakaran antara 17 muka baharu bertanding kerusi DUN. Razak yang juga adik kepada Datuk Seri Nasir Tun Sakaran akan bertanding kerusi DUN Bugaya manakala Nasir mempertahankan kerusi DUN Senallang.

Seorang lagi muka baharu, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan bertanding kerusi DUN Apas yang disandang abangnya, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang meninggal dunia pada 15 Mac lepas.

Selain itu, bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Datuk Osman Jamal yang akan bertanding di Balung, bekas Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Exco Pemuda UMNO Jamawi Jaafar (Kemabong) juga antara muka baharu calon BN bagi kerusi DUN di negeri ini.

Calon muka baharu wanita ialah Julita Manjungki (DUN Matunggong), Dr Pamela Yong (DUN Luyang) dan Mizma Apehdullah (DUN Tengku).

-- BERNAMA