Agensi kerajaan, NGO perlu galak orang muda mengundi
KUANTAN, 25 April (Bernama) -- Agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya pertubuhan belia di seluruh negara memainkan peranan penting untuk menggalakkan golongan muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang Shamsuhaime Basir berkata ini kerana peratusan mengundi yang tinggi dalam kalangan anak muda menunjukkan mereka sudah matang dengan politik dan menyedari kewajipan untuk menentukan hala tuju sesebuah negara.
"Kita semua perlu meraikan demokrasi termasuk generasi muda kerana sistem itu telah diterima sebagai cara untuk menentukan pemimpin negara melalui kaedah pilihan raya.
"Kesedaran terhadap hal ini adalah menjadi tanggungjawab agensi kerajaan dan NGO yang mana secara tidak langsung kita juga merupakan ejen penggerak ketamadunan bangsa," katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pelancaran Program Salam Anak Muda Perdana Negeri Pahang di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) Wan Emril Nizam Wan Embong, timbalannya Abdul Basits Mohamed Mokhtar dan exco-exco dari setiap daerah.
Beliau berkata statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat September tahun lepas menunjukkan 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih.
"Diharapkan dengan program seperti ini ia dapat meningkatkan jalinan MBNP dengan mereka untuk menambah bilangan individu yang mendaftar, sekali gus keluar mengundi pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA