Yang Dipertua PAS Langkawi calon Parlimen Langkawi
ALOR SETAR, 26 April (Bernama) -- PAS hari ini menamakan Yang Dipertua PAS Langkawi Zubir Ahmad, 55, sebagai calon bagi kawasan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi turut mengumumkan Naib Yang Dipertua PAS kawasan Jerai, Mohd Sabri Azit, 52, sebagai calon Parlimen Jerai menggantikan senarai asal pencalonan iaitu Mohamad Ismail.
"Zubir pada pilihan raya umum lalu ialah calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dalam Parlimen itu dan kali ini kami calonkan pula beliau untuk Parlimen tersebut.
"Kami yakin pengalamannya sebanyak tiga kali menjadi calon pilihan raya umum iaitu dua kali di Ayer Hangat dan sekali di Parlimen mampu menarik sokongan rakyat kepada PAS," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.
Zubir akan menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan juga calon pakatan pembangkang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas pencalonan Mohd Sabri di Parlimen Jerai bagi menggantikan Mohamad, Ahmad Fakhruddin berkata pengguguran nama Mohamad itu disebabkan masalah "teknikal perundangan".
"Setelah mengambil kira semua faktor maka kita gantikan Mohd Sabri yang merupakan seorang calon muka baharu," katanya.
-- BERNAMA