Beberapa jalan di Kedah ditutup pada hari penamaan calon




ALOR SETAR, 26 April (Bernama) -- Beberapa jalan utama di Parlimen Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena akan ditutup bagi membolehkan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Sabtu ini berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, ia membabitkan jalan-jalan yang terlibat dengan perarakan calon-calon dan para penyokong ke pusat penamaan calon yang mana penutupan jalan akan berkuat kuasa bermula 7 pagi hingga 11 pagi.

Untuk Parlimen Alor Setar, pusat penamaan calon yang ditetapkan ialah di Kompleks Belia dan Sukan di Jalan Stadium, antara jalan yang ditutup dan dilencongkan bagi kedua-dua arah ialah Jalan Tun Razak, Jalan Stadium dan Lebuhraya Darulaman.

Katanya, bagi Parlimen Kuala Kedah ialah di sekitar pusat penamaan di Kompleks Pentadbiran Daerah dan Tanah Kota Setar di Jalan Suka Menanti yang melibatkan penutupan jalan dua hala dari Jalan Suka Menanti ke Gunung Keriang.

Bagi Parlimen Pokok Sena pula, pusat penamaan calon yang ditetapkan ialah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena membabitkan jalan dua hala iaitu dari Alor Setar ke Kuala Nerang bermula dari Public Bank dan Petronas Pokok Sena.

"Saya mensihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya supaya mencari jalan alternatif dan mengelak daripada memasuki jalan-jalan yang disebut tadi serta mendapat arahan daripada pihak jurupandu yang kita tugaskan.

Calon dan penyokong parti bertanding pula diminta berada di lokasi-lokasi perarakan yang telah ditetapkan dan mematuhi arahan sekatan serta had batasan selain tidak menggunakan alat pembesar suara atau muzik semasa perarakan demi kelancaran proses berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rozi berkata seramai 500 anggotanya akan ditugaskan pada Sabtu ini bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja menimbulkan provokasi melampau dengan mengikut undang-undang yang sedia ada.

Kita tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan dan sebab itu kita mempunyai 995 anggota yang akan bertugas pada hari pengundian nanti bagi menjamin proses pilihan raya yang diadakan berjalan lancar tanpa gangguan dan kejadian yang tidak diingini.

"Saya harapkan calon-calon dan para penyokong juga lebih bersikap profesional dan matang dalam proses demokrasi yang berlangsung serta mengikut arahan pihak polis sepanjang hari penamaan, tempoh berkempen, dan hari pengundian," katanya.

Sehingga kini, terdapat dua laporan polis diterima berhubung khianat terhadap bendera parti di Limbongan Kapal di sini dan melemparkan telur busuk di tempat ceramah sebuah parti di kawasan Derga Jaya dan tindakan telah diambil mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA