Kemenangan BN jadi keutamaan ketika ini - Mohamed Khaled
JOHOR BAHRU, 26 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjadi keutamaannya ketika ini berbanding memikirkan perkara lain seperti jawatan.
Mohamed Khaled berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengenai soal sama ada beliau kekal sebagai Menteri Besar atau tidak untuk penggal seterusnya sekiranya menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.
"Pokoknya, saya Pengerusi BN dan Menteri Besar sementara, maka saya akan mengetuai pilihan raya (di negeri ini). Saya ketua, saya jeneralnya.
"Lepas itu, kontrak saya (Menteri Besar) habis, terserah kepada pucuk pimpinan dan Sultan. Saya tidak fikir soal nak jadi Menteri Besar, Menteri atau tak jadi apa-apa. Soalnya saya nak menang," kata beliau pada majlis pelancaran Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor 2018 di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian semasa menjawab pertanyaan pemberita mengenai kewajaran beliau bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan mempertahankan DUN Permas.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled menegaskan beliau akan mengetuai satu pasukan yang kuat sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas.
Menurutnya, sekiranya BN menang di Johor, beliau akan menggunakan kesempatan itu bagi membawa Johor ke peringkat pusat agar peringkat pusat lebih memandang perjalanan serta hala tuju negeri ini.
"Saya akan gunakan kesempatan ini, jika (BN) berjaya untuk mengetuai satu pasukan Johor yang kuat dalam dewan perundangan untuk memastikan Kuala Lumpur memandang perjalanan dan hala tuju Johor.
"Untuk Kuala Lumpur lebih tahu apa kehendak dan kemahuan Johor untuk berjaya. Kita percaya apabila melihat dari sudut itu, Kuala Lumpur dan kerajaan pusat akan terus bagi sokongan untuk menjayakan hasrat dan aspirasi Johor," katanya.
-- BERNAMA