PRU14: Mohd Ali, Shamsul Iskandar ulangi pertarungan
MELAKA, 26 April (Bernama) -- Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin bakal mengulangi pertarungan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas masing-masing dicalonkan di Parlimen Hang Tuah Jaya, yang sebelum ini Parlimen Bukit Katil.
Shamsul Iskandar diumum secara rasmi sebagai calon Pakatan Harapan pada PRU14 di kawasan Parlimen itu oleh Pengerusi Pakatan Harapan negeri Melaka Adly Zahari, namun bercakap kepada pemberita Shamsul Iskandar mengakui pertarungan kali ini banyak perbezaannya.
"Pada PRU13 saya lawan dia (Mohd Ali) sebagai ketua menteri, cabaran pasti berbeza. Kali ini saya bertemu lagi (dengan Mohd Ali). PRU lepas saya anggap misi mustahil, kali ini pun saya rasa sukar tetapi peluang menang ada," kata Shamsul Iskandar.
Selain Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Shamsul Iskandar, PAS turut mengumumkan calonnya iaitu penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru, yang kini DUN Bukit Katil, iaitu Dr Md Khalid Kassim untuk bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya.
Pada pengumuman itu juga Adly turut mengesahkan Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong sebagai calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Kota Melaka, yang Khoo bakal berdepan dengan 'seterunya' dalam DAP Melaka suatu ketika dahulu iaitu Goh Leong San yang bertanding sebagai calon Bebas.
BN pula meletakkan calon termuda mereka di negeri ini iaitu Pengerusi Biro Profesional Muda dan Pelajar Pemuda MCA Choo Wei Sern, 30, untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Melaka.
Khoo, yang merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Keroh, sebelum ini dilaporkan media tidak sependapat dengan Goh, dan pada Februari tahun lepas Goh bersama tiga lagi rakannya dalam DAP bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan dengan pimpinan DAP.
Goh bersama tiga lagi rakannya iaitu penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him; Lim Jack Wong (penyandang DUN Bachang), Chin Choong Seong (penyandang DUN Kesidang); telah mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14.
Dalam majlis hari ini Adly, yang juga Pengerusi Amanah Melaka dan bakal bertanding di DUN Bukit Katil, mengumumkan Pakatan Harapan bertanding di semua 28 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen seluruh negeri.
Daripada jumlah itu PKR bakal bertanding di lapan kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, DAP (lapan DUN, satu Parlimen), PPBM (enam DUN, dua Parlimen) dan Amanah (enam DUN, satu Parlimen).
Pada PRU13, DAP menguasai enam kerusi DUN Melaka dan satu kerusi Parlimen, manakala PKR memperoleh satu kerusi Parlimen.
-- BERNAMA