Empat calon BN muncul semula bertanding kerusi DUN di Sabah
KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Empat calon BN yang membuat kemunculan semula untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melahirkan penghargaan atas kepercayaan pucuk pimpinan parti selain bersemangat tinggi menggalas tanggungjawab yang diamanahkan bagi memberi kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.
Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, yang pernah dipilih sebagai anggota Parlimen Penampang pada PRU11 dan ADUN Moyog pada PRU12, dipilih semula untuk bertanding kerusi DUN Moyog itu kali ini.
Menurutnya, beliau akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Penampang, khususnya di Moyog, dengan membawa pembangunan kerana pembangkang yang menyandang kerusi DUN itu sekarang dilihat tidak mempedulikan rakyat.
"Pada pilihan raya ini, kami (BN) memberi pilihan munasabah di mana kami akan membawa kestabilan kepada Penampang ke tahap lebih lagi daripada pembangunan yang ada sekarang, termasuk memberi peluang kepada anak muda dan berkhidmat kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Sabah di sini hari ini.
Seorang lagi calon BN yang membuat kemunculan semula ialah Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Datuk Japlin Akim, yang pernah dipilih untuk berkhidmat sebagai ADUN Usukan selama dua penggal sejak PRU11, muncul semula untuk bertanding kerusi DUN itu menggantikan penyandangnya Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang bertukar ke kerusi Parlimen Kota Belud.
Selain Donald dan Japlin, dua lagi calon yang membuat kemunculan semula ialah Datuk Johnny Goh bagi kerusi DUN Inanam, yang pernah dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal sejak PRU10, manakala Datuk Harman Mohamad dipilih bagi kerusi DUN Sulabayan, yang pernah dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu pada PRU12.
-- BERNAMA