Sivarraajh harap MyPPP bantu rampas kembali Cameron Highlands
KUANTAN, 26 April (Bernama) -- Ketua Pemuda MIC Pusat Datuk C. Sivarraajh yang dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands berharap MyPPP akan bersama-samanya dalam usaha mempertahankan kerusi itu.
Sivarraajh berkata ini kerana umum tahu kerusi itu turut didambakan oleh bekas Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas sehingga mencetuskan masalah dalam parti berkenaan dan membawa kepada pemecatan beliau.
"Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN yang memegang semangat setia kawan dengan menyerahkan kawasan itu kepada MIC dan menjadi perkara biasa sebelum pengumuman kita boleh bergaduh dan mengkritik."
"Tetapi selepas pengumuman ini, saya harap mereka (MyPPP) dapat membantu saya untuk terus memberi mandat kepada BN memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih baik," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Pengumuman dan Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Pahang bagi PRU14, di sini hari ini.
Katanya beliau juga sedar bakal berdepan tugas getir kerana kerusi tersebut dianggap kerusi 'panas' sekali gus menuntutnya bekerja lebih keras bagi memastikan BN menerima sokongan padu pengundi.
Pada PRU13, penyandang Datuk Seri G. Palanivel yang juga bekas Presiden MIC, menang dengan majoriti tipis 462 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Media sebelum ini melaporkan kerusi itu diintai oleh Kayveas namun pucuk pimpinan tertinggi BN memutuskan kerusi tersebut kekal ditandingi oleh MIC.
Kemelut itu menyaksikan Kayveas dipecat daripada MyPPP berkuat kuasa semalam selepas jawatankuasa disiplin parti mendapati beliau menyalahgunakan kedudukan dalam parti untuk kepentingan peribadi.
-- BERNAMA