PAS sasar 12 kerusi Parlimen, 38 kerusi DUN di Kelantan




KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- PAS Kelantan menyasar untuk memenangi 12 kerusi Parlimen dan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat.

Zulkifli, yang juga calon PAS bagi kerusi Parlimen Machang berkata, parti itu akan memberi tumpuan di kawasan tengah dan hilir Kelantan terutama di kawasan bandar.

"Parlimen (dan DUN) di kawasan hulu (terutama Jeli dan Gua Musang) sukar untuk PAS (menang) tetapi ada kemungkinan berlaku kejutan di kedua-dua kerusi berkenaan (pada PRU14 ini)."

"Ini kerana perkembangan terakhir yang berlaku dua, tiga hari lepas amat positif. Ada ramai yang sertai PAS di Gua Musang," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perhubungan PAS Kelantan di sini, hari ini.

PAS Kelantan meletakkan calonnya untuk bertanding di kesemua 14 Parlimen dan 45 DUN.

Ditanya mengenai penerimaan penyokong di kawasan penyandang yang digugurkan, Zulkifli yang juga penyandang DUN Pulai Chondong berkata mungkin berlaku bantahan di kawasan tersebut namun masih boleh dibendung.

"Mungkin ada beberapa penyokong yang rapat dengan wakil rakyat (PAS) yang digugurkan dan mungkin mereka kecewa tapi kita yakin boleh atasi perkara tersebut."

"Ini kerana konsep calon dipilih untuk berkhidmat sekaligus menegakkan Islam. Selalunya seseorang penyandang itu digugurkan selepas tiga penggal berkhidmat di sesuatu kawasan untuk memberi laluan kepada muka baharu untuk menjadi pelapis kepimpinan PAS," katanya.

-- BERNAMA