Calon Pemuda BN Sabah sedia gempur lawan, bawa pembaharuan




KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Lima calon sayap Pemuda yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat sudah bersedia untuk menggempur lawan selain teruja diberi amanah mewakili suara belia pada PRU kali ini.

BN Sabah meletakkan Pengerusi Pemuda BN negeri Hafez Yamani Musa di kerusi Parlimen Sipitang; Pengerusi Biro Bencana Alam UPKO Ceasar Mandela Malakun di Parlimen Penampang dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup untuk kerusi Parlimen Pensiangan.

Dua lagi ialah Ketua UPKO Kota Belud Ewon Benedick yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dan Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar (DUN Kemabong).

Bagi Hafez, 41, yang juga Ketua Pemuda UMNO Sabah, beliau mahu memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh di Sipitang selain melibatkan golongan belia dengan lebih meluas.

"Pencalonan ramai pemimpin muda ini juga merupakan satu perkembangan yang sihat untuk negeri dan negara kerana ia akan mewujudkan keseimbangan dalam barisan calon," katanya.

Sementara itu Mandela, 28, berkata beliau mahu membawa sesuatu yang baharu ke Penampang selain memastikan pembangunan yang realistik di kawasan itu.

Ewon, 35, pula berhasrat meneruskan usaha dan perancangan yang telah disusun beliau di kawasan DUN Kadamaian sebelum ini.

Sementara itu, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup berkata pemilihan anak lelakinya Arthur, 36, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pensiangan adalah bersesuaian dengan usaha merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Sabah khususnya di kawasan berkenaan.

Kurup yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pensiangan pada PRU kali ini, berkata Sabah memerlukan pemimpin muda bagi membawa generasi muda Sabah ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

"Dia (Arthur) adalah orang muda yang sangat komited memperjuangkan kepentingan rakyat. Saya pasti dia (Arthur) boleh membawa generasi muda Sabah ke tahap yang lebih baik bagi menghadapi cabaran masa depan TN50," katanya.

-- BERNAMA