Permohonan 16 bekas anggota UMNO cabar keputusan ROS tidak berasas - peguam




KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa permohonan 16 bekas anggota UMNO bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memberikan lanjutan masa kepada parti berkenaan untuk mengadakan pemilihan parti sehingga 19 April 2019, adalah bersifat remeh dan tidak berasas.

Perkara itu dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan ketika mengemukakan bantahan awal melalui Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan 16 individu berkenaan selaku pemohon di dalam kamar Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said.

Shamsul, yang mewakili RoS dalam hujahannya berkata mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, keputusan parti politik atau sebarang perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad dan tidak boleh disemak, dicabar, dirayu, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah.

Katanya, mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan sebarang kes saman, permohonan persoalan atau prosiding yang dikemukakan dengan alasan untuk mencabar kesahihan keputusan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kesemua pemohon berkata, beliau pula berhujah bahawa berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, mana-mana peruntukan undang-undang yang mengharamkan sebarang tindakan daripada dibawa ke mahkamah, dengan sendirinya adalah haram dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan bantahan awal Jabatan Peguam Negara dan permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.

Pada 20 April lepas, kesemua 16 pemohon itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan RoS dan Datuk Ab Rauf Yusoh, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO, sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka ialah Salihudin Ahmad Khalid, Noorhalimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharudin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Rafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad dan Muhamad Hafizi Hashim yang kesemuanya bekas anggota UMNO dari enam negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam permohonan itu, mereka menuntut perintah certiorari untuk membatalkan keputusan RoS yang memberikan pelanjutan masa sebanyak dua kali yang melebihi tempoh maksimum bagi pemilih kesemua peringkat UMNO yang diumumkan oleh RoS melalui kenyataan media bertarikh 5 Mac 2018.

Mereka juga memohon suatu perintah mandamus bagi mewajibkan RoS dengan serta-merta menjalankan siasatan dan memberi maklum balas bertulis terhadap surat mengenai aduan berhubung kesahihan dan kedudukan parti di semua peringkat iaitu di peringkat Majlis Tertinggi sehingga ke peringkat Cawangan sebagai sebuah parti politik yang berdaftar.

Turut dipohon deklarasi bahawa semua Cawangan UMNO telah secara automatik terbubar dan tidak memunyai kuasa yang sah di sisi undang-undang untuk berurusan dan melaksanakan apa-apa tugasan berkaitan UMNO mulai 1 Mac 2018, manakala UMNO Bahagian dan Majlis Tertinggi UMNO pula secara automatik terbubar dan tidak mempunyai kuasa yang sah mulai 20 April 2018.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili UMNO memberitahu media bahawa mahkamah memutuskan bahawa pihaknya tidak perlu mengikuti prosiding hari ini kerana permohonan berkenaan difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) oleh kesemua pemohon.

Namun, peguam itu berkata kesemua pemohon tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan berkenaan kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa keahlian seseorang ahli secara automatik terbatal jika kes membabitkan parti dibawa ke mahkamah.

"Calon UMNO pada pilihan raya kali ini juga tidak perlu risau jika mahkamah memberi kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan mengisytiharkan parti UMNO diharamkan kerana mereka bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan watikah pelantikan sebagai calon ditandatangani oleh Pengerusi BN," katanya.

-- BERNAMA