BN Perlis lancar manifesto fokus lima teras
KANGAR, 26 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perlis hari ini melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Menuju Kesejahteraan Rakyat' yang merangkumi lima teras khusus untuk kesinambungan hala tuju pembangunan dan pentadbiran negeri itu.
Lima teras itu meliputi aspek pembangunan, ekonomi dan prasarana; peningkatan kualiti hidup; penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan; keutamaan dalam soal kebajikan dan pemerkasaan pendidikan.
Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sebagai tambahan kepada akujanji dan komitmen BN di peringkat pusat, Manifesto BN Perlis memberi garapan lebih khusus untuk manfaat rakyat dan negeri.
Antara intipati menarik Manifesto BN Perlis ialah bagi aspek pembangunan ekonomi dan prasarana mengenai pembukaan semula sempadan Wang Kelian dekat sini, bagi menggerakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan pengekangan jenayah rentas sempadan.
"Kawasan Perdagangan Bebas Padang Besar juga akan diwujudkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di sempadan sekali gus membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya semasa mengumumkan Manifesto BN Perlis di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Shahidan berkata BN Perlis juga akan menumpukan kepada pembangunan ekonomi di Bandar Baharu Kuala Sanglang dengan mengambil kira keperluan menyediakan kawasan perumahan mampu milik dan bangunan komersial untuk kemudahan komuniti setempat.
"Sebanyak 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina dan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di setiap Parlimen," katanya.
Untuk generasi muda yang meminati sukan permotoran, Shahidan turut mengumumkan pembinaan litar 'sprint test', manakala Xtreme Park akan turut dibina sebagai kemudahan riadah kepada penggemar sukan ekstrem.
Bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan, BN Perlis akan menjadikan negeri itu sebagai hab pelancongan dengan mewujudkan lebih banyak produk dan destinasi baharu, di samping memperluaskan kawasan ekonomi baharu, katanya.
"BN juga akan menyediakan tapak-tapak perniagaan baharu yang selesa dan mesra pengguna dan akan memperluaskan program bantuan untuk gerai dan penjaja kecil," katanya.
Shahidan berkata sebagai bukti keprihatinan dan menunjukkan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan BN, program Jualan Sentuhan Rakyat secara berkala di lokasi-lokasi strategik akan diperluaskan.
"Selain itu skim bantuan untuk ibu tunggal juga akan diperluaskan melalui pelbagai latihan agar mereka mampu berdikari, selain memperkemaskan bantuan kebajikan bagi meringankan perbelanjaan kumpulan sasar tertentu termasuk orang kelainan upaya, anak yatim dan warga emas," katanya.
Dalam memperkasakan pendidikan, silibus dan kemudahan Sekolah Rendah Islam di bawah seliaan Yayasan Islam Perlis akan ditambah baik dalam usaha menjadikan Perlis sebagai negeri berprestasi tinggi bukan sahaja dalam bidang pendidikan menengah, malah merangkumi pendidikan rendah, katanya.
"Sebuah universiti baharu dan sebuah kampus cawangan yang berupaya mewujudkan limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar juga akan dibina bagi mencetus anjakan paradigma dalam masyarakat terhadap budaya ilmu."
"Begitu banyak manfaat yang bakal diterima melalui Manifesto BN, justeru, sokongan untuk BN harus diberi agar perancangan dan hala tuju yang telah dirancang ini dapat direalisasi dengan sempurna," katanya.
-- BERNAMA