Dua calon wanita BN Sabah galas tanggungjawab rampas kerusi pembangkang




KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Dua daripada tiga calon wanita baharu mewakili Barisan Nasional (BN) yang dipilih untuk bertanding di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini akan menggalas tanggungjawab untuk merampas semula kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU13 lalu.

Doktor gigi Dr Pamela Yong, 41, dari MCA, yang dipilih untuk bertanding kerusi DUN Luyang, berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan parti untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Pemilihan saya sebagai calon di kawasan itu adalah tepat pada masanya. Luyang memerlukan kepimpinan generasi muda yang lebih progresif untuk membawa kawasan di pinggiran bandar itu ke tahap lebih tinggi," katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon BN Sabah di sini hari ini.

Bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat, Julita Majungki, 47, dari PBS bersyukur dipilih untuk bertanding kerusi DUN Matunggong kerana beliau merasakan dirinya berpeluang untuk menyumbang kepada rakyat.

"Bagi memastikan kemenangan BN di Matunggong semula memerlukan komitmen semua parti komponen dan juga pemimpin masyarakat tempatan," katanya.

Pada PRU13, BN kalah kepada calon DAP Dr Hiew King Cheu, yang kini meninggalkan parti pembangkang itu untuk menyertai MCA, manakala kerusi DUN Matunggong jatuh kepada calon PKR Datuk Jelani Hamdan, yang kini meninggalkan parti itu dan beralih sokongan kepada BN.

Sementara itu, calon DUN Tungku, Mizma Apehdullah, 44, dari UMNO berkata pemilihan dirinya sebagai calon di kawasan berkenaan satu pengiktirafan baginya sebagai seorang wanita dan akan membawa lebih banyak pembangunan, termasuk memantapkan aspek keselamatan dan mengangkat Tungku sebagai tarikan destinasi pelancongan.

Kerusi DUN Tungku itu kosong sejak penyandangnya Datuk Mohd Suhaili Said meninggal dunia akibat kanser hati pada 24 Mac tahun lepas.

-- BERNAMA