Dua lagi calon idamkan kerusi Sibu dan Lanang




SIBU, 26 April (Bernama) -- Hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 kian hampir dan keadaan semakin menarik di kawasan Parlimen Sibu serta Parlimen Lanang apabila dua lagi bakal calon hari ini mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

Kedua-dua bakal calon wanita itu yang akan bertanding atas tiket Sarawak Peace Party masing-masing bagi kerusi berkenaan ialah ahli perniagaan Tiew Yew Houng, 47, dan pengamal undang-undang Priscilla Lau, 49.

Jika tiada lagi bakal calon yang menawarkan diri, Parlimen Sibu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala Lanang pula tiga penjuru.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Andrew Wong Kee Yew sebagai calon bagi kerusi Sibu dan Kelvin Kong bagi Lanang, manakala penyandang, Oscar Ling serta Alice Lau akan mempertahankan kerusi berkenaan bagi DAP.

Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) pula mempertaruhkan Simon Tiong Ing Tung di Sibu.

Tiew yang merupakan anggota SPP sebelum keluar daripada parti lebih sebulan lepas, berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding oleh kerana merasakan selepas 22 tahun bersama BN, beliau lihat tidak banyak perubahan di Sibu.

Priscilla memperoleh pengalaman pertamanya sebagai calon setelah bertanding dalam pilihan raya negeri ke-11 pada 7 Mei 2016.

Beliau bertanding atas tiket STAR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pelawan menentang calon langsung Barisan Nasional Datuk Janet Lau Ung Hie dan Wong Kee Wong daripada DAP.

Wong menang dengan majoriti 4,314 undi setelah memperoleh 13,056, manakala Lau mendapat 8,742 undi.

Sungguhpun hilang wang pertaruhan, Priscilla yang hanya mendapat 597 undi berkata: "itu sudah cukup baik bagi kerja selama empat hari dan masih ada orang yang percaya kepada perjuangan saya. Ini memberi galakan kepada saya untuk bertanding dalam PRU14."

Priscilla, yang bercakap kepada pemberita di sini hari ini menjelaskan, beliau tidak pernah menganggotai STAR oleh kerana beliau tidak pernah menyerah sebarang borang untuk menjadi anggota parti.

-- BERNAMA