Sarawak Energy pastikan bekalan elektrik tidak terjejas semasa PRU14




KUCHING, 26 April (Bernama) -- Sarawak Energy (SEB), syarikat pembekal tenaga elektrik milik kerajaan negeri, sudah menyusun rangka kerja kesiapsiagaan, termasuk menubuhkan pasukan tunggu sedia tambahan untuk bertindak pantas, terutama pada hari penamaan calon dan hari pengundian bagi memastikan bekalan tenaga elektrik sentiasa berterusan semasa proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam kenyataan di sini hari ini, ketua pegawai operasinya Lu Yew Hung berkata sebuah pasukan perhubungan juga ditubuhkan bagi mewujudkan penyelarasan lebih cekap dan untuk memberi respons segera terhadap isu berkaitan bekalan tenaga elektrik dalam tempoh berkempen.

Beliau berkata SEB meningkatkan keupayaan pasukan teknikalnya bagi meminimumkan kejadian gangguan bekalan serta memastikan bekalan elektrik dipulihkan dengan pantas, terutama pada hari pengundian.

"Kami akan tempatkan petugas pensuisan dan tunggu sedia di tempat strategik dalam sistem kami di seluruh negeri. Mereka juga akan berada dalam keadaan bersiap sedia di fasiliti kritikal bagi memastikan pemulihan dapat dilakukan dengan pantas sekiranya berlaku kerosakan," kata beliau.

Sementara itu, Lu mengingatkan petugas parti supaya tidak memasang atau menggantung bahan pilihan raya pada atau berhampiran dengan fasiliti tenaga elektrik semasa tempoh berkempen kerana perbuatan demikian boleh membahayakan nyawa mereka.

"Laporan dan pertanyaan boleh disalurkan kepada talian 24 jam Careline Pelanggan Sarawak Energy 1300-88-3111, manakala maklumat terkini tentang penutupan dan gangguan bekalan boleh didapati melalui aplikasi bergerak Sarawak Energy, 'SEB Cares', yang boleh dimuat turun melalui App Store Apple bagi iOS dan Google's Play," katanya.

-- BERNAMA