Kerajaan BN banyak bantu petani dan nelayan - Idris




BESUT, 26 April (Bernama) -- Golongan petani dan nelayan telah menikmati pelbagai kemudahan dan insentif yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan mereka hidup dengan selesa.

Penyandang kerusi Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh berkata ekoran itu, golongan tersebut tidak seharusnya melupakan segala jasa yang diberikan dan perlu menilai dengan baik apabila perlu memilih calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Di daerah Besut ini kerajaan sentiasa cakna kepada kehidupan pesawah dan nelayan dengan memastikan mereka dapat meraih pendapatan dan keluar dari garis kemiskinan melalui penyediaan pelbagai projek mega," katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 hadirin termasuk lebih 2,000 nelayan dan pesawah pada Program Sentuhan Kasih Warga Tani di Kampung Darau, Hulu Besut di sini hari ini.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata sejak memenangi PRU13, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah merancang pelbagai projek bernilai hampir RM1 bilion untuk kemudahan para nelayan dan pesawah.

Katanya selain itu, beberapa projek lain juga sedang dalam pembinaan antaranya Gerbang Pelancongan Antarabangsa di Kuala Besut yang menelan belanja RM250 juta dengan mendalamkan muara Sungai Kuala Besut, pembinaan empangan Paya Peda di Hulu Besut dengan kos RM450 juta, pembinaan kilang padi di Kampung Masin dengan kos RM30 juta dan membaiki sistem pengairan pertanian di Ampangan Jajar, Hulu Besut bernilai RM110 juta.

"Kerajaan juga memperkenalkan teknologi baharu dalam pertanian seperti penanaman padi U-Putra dengan menghasilkan 10 tan metrik sehektar, memulakan industri ternakan kambing tenusu di Bukit Marak, Hulu Besut dan penanaman tukun tiruan di perairan Kuala Besut," katanya.

Pada majlis itu seramai 2,670 orang terdiri daripada pesawah dan nelayan menerima bantuan khas berjumlah RM2,925,750 untuk Bantuan Sara Hidup bagi nelayan dan Program Khas Pesawah Sementara Menunggu Tuaian Hasil Padi.

Daripada jumlah tersebut, 451 orang adalah nelayan manakala 2,219 adalah pesawah.

-- BERNAMA