Wanita UMNO WP puji persiapan jentera pilihan raya wanita BN Labuan




LABUAN, 26 April (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Zurainah Musa memberi pujian terhadap persiapan Wanita Barisan Nasional (BN) Labuan melalui inisiatif Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus bagi menggerakkan jentera pilihan raya parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

"Saya berpuas hati dengan persiapan di Wilayah Persekutuan setelah membuat tinjauan di sebahagian besar kawasan parlimen dan melihat sendiri komitmen penuh yang ditunjukkan Wanita UMNO dalam menggerakkan JR serta JR Plus," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jalinan Rakyat Wanita BN di markas BN di Kampung Pantai di sini pada Rabu malam.

Zurainah berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan lancar dan anggota kumpulan berkenaan (JR dan JR Plus) telah turun padang untuk bertemu pemilih serta menjalin hubungan rapat dengan golongan akar umbi melalui program lawatan rumah ke rumah.

Beliau juga memuji inisiatif JR kawasan parlimen Labuan apabila melihat hampir 99 peratus pegawainya menunaikan tugas mereka dengan berkesan bagi memastikan BN berjaya mempertahankan kerusi parlimen Labuan dengan majoriti lebih besar.

Zurainah juga menyeru semua pengundi wanita di pulau bebas cukai ini supaya keluar mengundi pada 9 Mei ini dan tidak terpedaya oleh propaganda pembangkang.

-- BERNAMA