Pusat media PRU14 dibuka mulai esok
PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membuka pusat media Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mulai esok bagi menyediakan maklumat berkaitan program dan aktiviti yang dilaksanakan kerajaan sepanjang tempoh proses pilihan raya.
Menurut kenyataan KKMM hari ini, Pusat Media PRU14 KKMM yang bertempat di aras 23 Kompleks KKMM di Putrajaya akan beroperasi mulai 9 pagi sehingga 9 malam pada 9 Mei ini.
"Bagi memudahkan para media menyediakan berita berkaitan PRU14, pusat media ini menyediakan pelbagai kemudahan seperti komputer, talian Internet, talian telefon, mesin faks, mesin pencetak dan beberapa keperluan lain," jelas kenyataan itu.
Tambahnya, KKMM melalui Jabatan Penerangan juga membuka pusat media di setiap negeri bagi tujuan yang sama.
Pusat Media PRU14 KKMM boleh dihubungi di talian 03-89115095 dan talian faks 03-89115065 atau berhubung dengan Mohd Rizal Khalib di talian 011-10012024 atau alamat e-mel pusatmediapru14@gmail.com.
Selain itu, maklumat mengenai Pusat Media PRU14 KKMM boleh didapati di akaun laman sosial Facebook Pusat Media KKMM, akaun twitter @pusatmediaKKMM atau akaun Instagram @pusatmediaKKMM.
-- BERNAMA