Jangan perlekeh calon yang terpilih - BN Kedah




PENDANG, 26 April (Bernama) -- Anggota UMNO diingatkan agar tidak mempelekeh calon-calon yang dipilih pucuk pimpinan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei.

Setiausaha Barisan Nasional negeri Kedah Datuk Md Rozai Shafian berkata, tindakan demikian bukan sahaja boleh "membunuh" seseorang calon, tetapi parti itu sendiri akan mengalami kekalahan.

"Tindakan ini tidak dinafikan berlaku pada pilihan raya lalu, saya harapkan kali ini senario itu tidak terjadi dan bagilah sokongan padu kepada calon yang dipilih demi kemenangan UMNO dan BN keseluruhan," katanya kepada pemberita pada Majlis Memperkenalkan Calon Pilihan raya Parlimen kawasan Pendang dan kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sg Tiang dan DUN Tokai, di sini hari ini.

Calon bagi Parlimen di wakili penyandangnya Datuk Othman Abdul, calon DUN Dewan Sg Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan DUN Tokai, Ahmad Fatahi Omar.

Md Rozai yang juga Ketua Bahagian UMNO Pendang cukup berkeyakinan calon- calon yang dipilih pucuk pimpinan parti menepati selera pengundi seterusnya dapat mengekalkan kerusi Parlimen Pendang dan DUN Sg Tiang, serta menawan DUN Tokai.

"Bagi masyarakat di DUN Tokai, inilah masanya mereka berubah kerana sudah cukup lama mereka di bawah PAS, sampai mereka tak kenal wakil rakyat sendiroi dan saya harapkan kali ini mereka bijak memilih BN untuk masa depan masyarakat DUN Tokai."

"Ahmad Fatahi bukan sahaja berpengalaman dalam politik, tetapi seorang ahli perniagaan dan rekodnya cemerlang serta seorang yang berbudi bahasa dan pekerti yang baik, boleh diterima, malahan dekat dengan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Md Rozai turut menasihatkan anggota UMNO agar tidak memperkecilkan keupayaan calon pakatan yang dipimpin DAP.

"Jangan kita perlekehkan juga calon mereka sehingga terlalu yakin dan hilang fokus, jangan buat begitu kerana ini lah ibu segala pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA