PRU14: Semua calon BN Melaka patuhi syarat kelayakan SPR




MELAKA, 26 April (Bernama) -- Semua calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN di Melaka telah telah mematuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata calon-calon itu juga telah melakukan prosedur yang dikehendaki dan borang berkaitan pencalonan telah diisi serta diteliti oleh pegawai undang-undang yang dilantik.

Beliau berkata kesemua 34 calon BN negeri telah disahkan layak dengan memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk status bankrupsi dan dokumen berkaitan yang perlu dikemukakan.

"Kita harus pastikan proses dan syarat yang ditetapkan dipatuhi agar tidak berlaku sebarang kesulitan yang akan memberi kesan kepada calon atau parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengamal Media Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris, yang juga Ketua Menteri, berkata setakat ini semua calon yang diumumkan adalah muktamad dan tiada sebarang pertukaran.

Isnin lepas, beliau mengumumkan enam calon Parlimen dan 28 calon DUN mewakili BN pada PRU14, 9 Mei ini.

Idris, yang merupakan penyandang DUN Sungai Udang, kekal mempertahankan kerusi berkenaan.

-- BERNAMA