Pemecatan Entulu dan Nyalau perlu agar PRS tidak terjejas - Masing
KANOWIT, 26 April (Bernama) -- Parti Rakyat Sarawak (PRS) terpaksa memecat dua anggota kanannya baru-baru ini selepas mereka cuba memusnahkan parti dari dalam, kata Presidennya Tan Sri Dr James Masing.
Beliau berkata tindakan itu adalah wajar bagi memastikan parti itu kukuh dan bersatu padu.
"Tindakan ini tidak akan mempengaruhi anggota kami, penyokong dan khususnya pengundi, untuk kecewa dan memboikot semua calon PRS dalam pilihan raya akan datang.
"Kami perlu melakukan apa yang sewajarnya untuk menyelamatkan parti," kata Masing semasa berucap pada satu perhimpunan di kediaman Datuk Aaron Dagang, calon yang diumumkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kanowit di sini hari ini.
PRS dalam mesyuarat khas Majlis Tertingginya pada Ahad telah memecat Timbalan Presidennya Datuk Joseph Entulu dan penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak dan dua yang lain.
Entulu, penyandang kerusi Parlimen Selangau juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Pemecatan itu bukan diusahakan Setiausaha Agung kami Datuk Joseph Salang, Datuk Aaron Dagang atau Datuk Wilson Ugak Kumbong dan tiga yang lain yang bertanding dalam pilihan raya itu.
"Ia adalah keputusan kolektif Jawatankuasa Tatatertib kami," katanya.
Mengenai pilihan raya, Masing yang juga timbalan ketua menteri yakin PRS akan berusaha memenangi semula enam kerusi untuk BN.
Semua masyarakat Dayak khususnya yang mahu PRS kekal kuat dan bersatu, harus terus menyokong mereka, katanya.
-- BERNAMA