617 borang pencalonan SPR dijual di P. Pinang
GEORGE TOWN, 26 April (Bernama) -- Sejumlah 146 borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 471 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah dijual di Pulau Pinang, tiga hari sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang Md Fuad Mohd Sherif berkata borang pencalonan itu telah dibeli oleh kesemua parti yang bertanding dan juga calon-calon Bebas yang berhasrat untuk bertanding pada PRU14.
"Bagi calon Bebas, sebanyak 16 borang sudah dijual untuk Parlimen manakala 30 borang lagi untuk DUN setakat 5 petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) pula membeli 39 borang untuk Parlimen dan 123 borang DUN manakala PAS membeli 31 borang Parlimen, 103 borang DUN; DAP membeli 20 borang Parlimen, 50 borang DUN dan PKR membeli lapan borang Parlimen, 32 borang DUN.
Beliau berkata borang-borang pencalonan yang selebihnya dibeli oleh parti-parti seperti Amanah, PPBM, PRM, PSM, PCM, PBM dan PFP.
Md Fuad berkata pembelian borang masih dibuka dan bagi mereka yang ingin menjadi calon boleh mendapatkan borang di pejabat SPR sehingga jam 5 petang esok.
SPR telah menetapkan hari mengundi pada 9 Mei manakala pengundian awal pada 5 Mei sementara tempoh berkempen adalah 11 hari bermula hari penamaan calon Sabtu ini.
Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN.
Md Fuad berkata Pulau Pinang mempunyai 1,669 saluran mengundi, 45 saluran mengundi awal dan 13 pusat penjumlahan undi.
"Sabtu nanti, sebanyak 13 pusat penamaan calon yang telah disediakan akan dibuka dari 9 pagi hingga 10 pagi," katanya.
Beliau meminta semua parti bertanding dan penyokong supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan SPR dan pihak berkuasa tempatan supaya PRU14 berjalan dengan lancar dan teratur.
-- BERNAMA