Ketua Wanita UMNO Rompin calon BN DUN Bukit Ibam
KUANTAN, 26 April (Bernama) -- Ketua Wanita UMNO Rompin, Datin Shamsiah Arshad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam bagi menggantikan Datuk Wan Kadri Wan Mahusain yang digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob petang ini, bagi melengkapkan senarai calon BN negeri bagi PRU14 kerana sebelum ini kawasan berkenaan masih tidak diputuskan pada pengumuman yang dibuat pada sebelah pagi tadi.
Pemilihan Shamsiah menjadikan jumlah calon wanita BN yang akan bertanding pada PRU14 nanti seramai enam orang manakala bagi calon baharu, beliau adalah individu ke-17.
Adnan, yang juga Menteri Besar, berkata Shamsiah merupakan satu daripada empat nama yang disenaraikan oleh UMNO Bahagian Rompin untuk diketengahkan sebagai calon.
"Pemilihan Shamsiah juga adalah untuk mengisi kuota Pergerakan Wanita UMNO. Pada pilihan raya kali ini, seorang anggota Wanita iaitu Datuk Maznah Mazlan digugurkan dan kita gantikan juga dengan seorang lagi wanita," katanya kepada pemberita di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.
Adnan juga mengesahkan bahawa Wan Kadri juga telah dimaklumkan bahawa namanya tidak terpilih sebagai calon pada petang ini, dan beliau menerimanya dengan baik.
"Beliau (Wan Kadri) seorang yang berjiwa besar kerana menerima keputusan ini dengan penuh terbuka walaupun baharu sepenggal berkhidmat di Bukit Ibam," katanya.
Sementara itu, Shamsiah,60 ketika dihubungi menzahirkan perasaan bercampur baur di atas keputusan pucuk pimpinan parti memilihnya sebagai calon di Bukit Ubam.
"Rasa gembira dalam masa yang sama terharu dengan kepercayaan yang diberikan. Memang tak sangka sama sekali akan terpilih sebagai calon kerana ketika itu saya sudah pun dalam perjalanan pulang ke Rompin sewaktu dihubungi oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Hassan Ariffin.
"Beliau meminta saya datang semula ke pejabat Menteri Besar Pahang sebelum dimaklumkan terpilih menjadi calon. Ini merupakan satu tanggungjawab yang berat dan memerlukan saya berusaha keras untuk pastikan BN dapat terus mengekalkan kawasan DUN Bukit Ibam.
Beliau, yang merupakan ibu kepada sembilan anak berusia 19 tahun hingga 34, mula menceburi bidang politik sejak 1984 dengan mula menjadi Ketua Wanita Cawangan Ladang Pegawai, Bukit Ibam.
-- BERNAMA