Wanita 83 tahun tidak pernah tinggal mengundi




BALIK PULAU, 26 April (Bernama) -- Usianya mencecah 83 tahun, tetapi wanita warga emas ini tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Pah Aishah Sh Mohd yang tinggal di Kampung Seronok di Balik Pulau di sini, berkata jika dihitung, PRU14 ini merupakan kali ke-13 dia mengundi pada pilihan raya umum.

"Memang (saya) tak pernah tinggal turun mengundi, dari awal dulu sampai sekarang pun masih nak turun (mengundi)," katanya.

Pengundi di kawasan Parlimen Balik Pulau itu ditemui semasa lawatan calon Barisan Nasional (BN) untuk parlimen tersebut Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ke kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Seronok, di sini hari ini.

Pah Aishah berkata dia bersyukur dengan pembangunan dan kemajuan yang dibawa anggota parlimen BN ke kawasan itu.

"Memang nampak jalan semakin elok, senang (orang ramai) nak guna, orang berniaga pun senang di sini," katanya.

-- BERNAMA