Suku kaum Iranun sentiasa mendapat tempat dalam BN - Salleh 
KOTA BELUD, 26 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memberi jaminan bahawa suku kaum Iranun akan terus mendapat tempat dalam sistem pentadbiran Barisan Nasional (BN) Sabah.
Beliau berkata sejak dahulu terdapat formula untuk memastikan ada perwakilan masyarakat Iranun sebagai calon BN di Kota Belud.
"Saya telah memperkenalkan formula 2:1:1 di mana dua calon di kawasan Parlimen Kota Belud adalah daripada kaum Bajau, satu daripada kaum Kadazandusun dan satu lagi daripada kaum Iranun. Itu sebabnya apabila kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan diwujudkan dalam kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sabah," kita (BN) peruntukkan kerusi itu untuk kaum Iranun.
"Oleh kerana kajian semula persempadanan itu tidak dapat digunakan pada PRU14 ini kerana tidak berkesempatan dibentangkan di peringkat Parlimen, maka tiada wakil kaum Iranum pada PRU14 ini," katanya ketika berucap pada majlis Pengarah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Warisan Parlimen Kota Belud, Asrin Sadi mengumumkan keluar daripada Warisan di kediaman Asrin di Kampung Kawa-Kawa, dekat sini, hari ini.
Salleh berkata walaupun kawasan DUN Pintasan belum diguna pakai pada PRU14, namun tidak bererti kawasan itu tidak wujud.
"Kawasan itu masih wujud dan hanya menunggu kelulusan daripada Parlimen. Oleh kerana perkara ini tidak berlaku (penggunaan kajian semula persempadanan DUN baharu) maka tiada calon daripada Iranun pada PRU14? tetapi saya akan pastikan suku kaum Iranun akan mendapat tempat dalam sistem pentadbiran BN Sabah."
"Perkara itu (perwakilan Iranun dalam BN) sudah saya bincangkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas Datuk Seri Najib ada menghubungi saya melalui telefon untuk membincangkan perkara ini dan beliau (Najib) katakan harus ada perwakilan masyarakat Iranun dalam dalam pentadbiran politik BN," katanya.
Salleh berkata BN adalah satu-satunya parti yang mengutamakan semua kaum di negara ini.
"Kita (pemimpin BN) sentiasa memastikan semua kaum mendapat tempat dan itulah prinsip BN - kaum yang jumlahnya kecil juga mempunyai tempat yang sama. Tiada siapa pun tersisih dalam sistem politik negara kita di bawah BN," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat suku kaum Iranun di Kota Belud menunjukkan sokongan padu kepada BN pada PRU14 ini.
Mengulas tindakan Asrin keluar Warisan dan kembali semula ke pangkuan BN, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata ia membukti bahawa Warisan tidak mampu merealisasikan apa yang diharapkan oleh masyarakat Iranun di Kota Belud.
"Saya kenal beliau (Asrin) 'dia sering membawa isu-isu Iranun' namun hari ini kita melihat tindakan beliau meninggalkan Warisan kerana beliau sedar akhirnya hanya BN yang dapat membela semua kaum di negara ini," katanya.
Sementara itu, Asrin berkata tindakannya keluar daripada Warisan disebabkan beliau sedar perjuangan parti pembangkang itu tidak dapat membela semua kaum di negeri ini.
"Pada mulanya masyarakat Iranun yang mengembangkan Warisan di Kota Belud namun kita lihat sekarang pucuk kepimpinan parti itu menidakkan apa yang kami perjuangkan sebelum ini tindakan keluar parti ini adalah protes disebabkan perjuangan mereka jauh tersasar daripada apa yang diperkatakan."
"Oleh itu saya membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan BN kerana saya yakin hanya BN yang dapat mengembalikan martabat semua suku kaum di dalam parti itu," katanya.
Beliau berkata kira-kira 150 anggota Warisan di Kota Belud yang kebanyakannya daripada suku kaum Iranun juga akan mengikut jejak langkahnya keluar daripada parti pembangkang itu.
-- BERNAMA