Bertanding dua kerusi kekalkan pengaruh
KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Strategi meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat sebagai langkah selamat untuk mengekalkan pengaruh di kawasan yang ditandingi.
Penganalisis politik berpendapat calon yang dipilih bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mempunyai lebih peluang untuk menang, selain menjadi faktor yang dapat mengukuhkan lagi parti.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa ,Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata ia bukan fenomena baharu, malah pendekatan sama sering dilakukan parti politik bagi membendung kekalahan terutama apabila calon muka baharu diletakkan.
"Dari sudut lain, mereka nak tunjukkan seseorang tokoh parti itu boleh membantu menambahkan kemenangan terutama apabila calon yang dipilih adalah dalam kalangan yang dianggap tokoh masyarakat atau calon pilihan."
"Bagaimanapun, lebih tepat sekiranya calon DUN diletakkan dalam kawasan Parlimen yang sama untuk mengelakkan berlakunya jurang dalam penyampaian bantuan dan perkhidmatan kepada penduduk setempat," katanya kepada Bernama, hari ini.
Md Shukri berkata ia memberi kelebihan kepada ?suara-suara' penduduk untuk lebih didengari terutama apabila calon yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN adalah dalam kalangan mereka yang membentuk kerajaan.
Mengambil contoh, Datuk Seri Mustapa Mohamed, katanya, meskipun Kelantan ditadbir pembangkang, namun Mustapa tetap dilihat sebagai tokoh yang cemerlang di DUN Air Lanas memandangkan beliau juga adalah wakil rakyat di Parlimen Jeli sebelum ini.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas pada PRU14, 9 Mei ini.
Nama-nama lain yang akan bertanding di dua kerusi ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Parlimen Lumut dan DUN Pangkor) dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (Parlimen Temerloh dan DUN Lanchang).
Dalam pada itu, calon pakatan pembangkang yang bertanding atas tiket PKR termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh dan DUN Gambir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Parlimen Jerlun dan DUN Jitra), Lim Guan Eng (Parlimen Bagan dan DUN Air Putih) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa).
Senada dengan Md Shukri, penganalisis politik merangkap bekas pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata calon yang mempunyai 'wow factor' sering diletakkan bertanding di dua kerusi kerana mempunyai pengikut tersendiri.
"Kebiasaannya, pengundi Parlimen dan DUN adalah orang yang sama, yang kenal demografi setempat. Kalau sekiranya diletakkan orang lain (calon) di kawasan berbeza kemungkinan orang itu tidak mendapat sepenuhnya sokongan pengundi, lebih-lebih lagi jika calon itu kurang dikenali," katanya.
Langkah itu juga bagi memastikan kerusi Parlimen dan DUN masing-masing dapat dipertahankan dan tidak jatuh ke parti lain, katanya.
-- BERNAMA