Misi awal Osman dekati masyarakat, analisa profail pembangunan Balung




TAWAU, 26 April (Bernama) -- Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Datuk Osman Jamal akan melaksanakan dua inisiatif permulaan iaitu mendekati masyarakat serta menganalisa profail pembangunan Balung.

Osman berkata perkara pertama dilakukan adalah bertemu masyarakat termasuk anggota UMNO di kawasan itu.

"Saya mahu mereka mengenali saya lebih dekat termasuk individu yang melakukan protes baru-baru ini kerana tidak mahu ada calon luar mewakili penduduk DUN Balung, tetapi saya yakin selepas bertemu secara dekat mereka akan terima saya sebab saya juga anggota UMNO sejak tahun 90-an lagi."

"Saya sebagai calon mewakili BN dan perkara yang perlu dilakukan bukan bersifat peribadi tetapi apa yang saya lakukan adalah memajukan Balung," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Osman yang berasal dari Kalabakan itu menggantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Syed Abas Syed Ali yang merupakan penyandang DUN Balung pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Selain itu, Osman yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah berkata tindakan keduanya adalah untuk menganalisa profail pembangunan di Balung.

"Saya bersyukur kerana perkara asas iaitu pembangunan sosial di sini telah ada (seperti pembangunan jalan telah dilaksana di bawah Syed Abas), kini yang perlu saya lakukan lagi adalah melihat bagaimana cara menggunakan asas yang ada ini untuk jauh ke hadapan dan selari dengan dasar jangka masa panjang pembangunan ekonomi Sabah bagi 2016-2035," katanya.

Osman berkata antara perancangannya kelak yang selari dengan dasar pembangunan ekonomi Sabah adalah untuk melihat anak-anak Balung mempunyai akses luas kepada pembangunan akademik.

"Kita mahu penduduk di Balung orang yang terpelajar kerana perkara itu dapat membantu masa hadapan rakyat Balung," katanya selain turut melihat kepentingan perancangan termasuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, penjagaan alam sekitar serta menaik taraf ekonomi penduduk DUN Balung.

Osman dalam pada itu positif dapat mengambil hati penduduk DUN Balung sekali gus bersamanya mengekalkan kemenangan BN di kawasan itu pada PRU14.

-- BERNAMA