Rakyat diminta tidak terus terpedaya dengan janji manis PH




PETALING JAYA, 26 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor menggesa rakyat negeri ini agar tidak terus terpedaya dengan janji-janji manis Pakatan Harapan (PH) yang ingin mengekalkan pentadbiran negeri itu untuk penggal ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata rakyat di Selangor sudah dua kali memilih pimpinan kerajaan negeri sekarang dalam pilihan raya terdahulu sebagai wakil pemerintah namun mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik.

"Cukuplah dua kali kena tipu. Kali pertama tipu kita percaya dan kedua pun kita percaya, janganlah sampai kali ketiga pula," katanya ketika berucap pada Program Rakyat Sejahtera di Flat Petaling Utama, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim, yang telah dinamakan sebagai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.

Noh berkata meskipun BN tidak terpilih di kawasan Taman Medan, kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sejumlah RM27 juta bagi membaik pulih dan penyelenggaraan di sembilan buah pangsapuri sekitar Taman Medan termasuk baik pulih lif, bumbung, cat serta bantuan kebajikan kepada penduduk.

Noh berkata kerajaan negeri yang memerintah hendaklah sering turun padang dan mendengar sebarang permasalahan rakyat bukan hanya datang berkempen lima tahun sekali kemudian menghilangkan diri.

Menurutnya, BN akan menyediakan kemudahan dan pembangunan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan itu jika diberi peluangpada PRU14 kali ini.

"Kerajaan Selangor ibarat rumah yang dibina oleh BN, namun mereka hanya ?basuh kaki' masuk ke kawasan ini. Semua BN sudah sediakan tetapi apabila berlaku sebarang masalah atau kerosakan mereka tidak pandai menguruskan."

"Masalah air dan sampah di Selangor sehingga kini masih tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak pembangkang dan Selangor turut mencatat kes denggi tertinggi," katanya.

Sementara itu, Noh berkata sekiranya BN berjaya memenangi kerusi DUN Taman Medan, penduduk bakal menikmati pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, parkir bertingkat serta lif yang dilengkapi kamera litar tertutup dan kad akses.

-- BERNAMA