Calon MCA PRU14 diyakini boleh beri kemenangan kepada BN




ALOR SETAR, 26 April (Bernama) -- Calon-calon MCA yang telah dipilih bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah calon yang diyakini boleh memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sekali gus mampu berkhidmat untuk rakyat.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setiap calon telah melalui proses yang rapi di peringkat bahagian dan negeri sebelum mendapat persetujuan pucuk pimpinan.

Katanya mana-mana calon yang tidak terpilih dan kemudian bertindak meletakkan jawatan seharusnya mendahulukan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi.

"Saya rasa biasalah ada yang terpilih ada yang tertinggal...kerusi satu sahaja. Tapi yang tertinggal itu kena lihat lebih penting adalah parti bukan individu. Saya ingatkan pada semua kita kena pentingkan parti."

"Kita kena pastikan bahawa kita dapat memastikan semua kerjasama untuk memastikan kemenangan BN," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Latihan Vokasional Tun Abdul Razak (VTAR) dan Sekolah Menengah Sin Min (Persendirian), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Naib Pengerusi MCA Perlis Khaw Hock Kong yang melepaskan semua jawatan yang dipegang beliau dalam parti berkuat kuasa serta-merta hari ini yang didakwa berikutan namanya tidak disenaraikan sebagai calon BN pada PRU14.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis itu menyatakan demikian dalam satu kiriman WhatsApp.

Pada majlis pengumuman calon BN Perlis oleh Pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan 2020, Kangar hari ini nama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi itu tidak disenaraikan dan digantikan dengan Tei Chai Ann.

Liow berkata bagaimanapun setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat berhubung peletakan jawatan itu daripada Khaw.

"Saya tidak terima apa-apa lagi. Tak apa...kerana dia boleh bagi pandangannya. Kami menghormati pandangannya," katanya.

Sementara itu, mengenai calon MCA Kedah, Liow berkata calon-calon yang dikemukakan pada pilihan raya kali ini cukup baik dan mereka diterima rakyat kerana telah lama berkhidmat di negeri ini.

"Calon-calon yang telah pun kami perkenalkan di Kedah amat memberangsangkan kerana mereka bekerja bertungkus lumus. Di Alor Setar misalnya kami ada Datuk Yoo Wei How dan Tan Eng Hwa di Kota Darulaman dulunya telah lama berkhidmat di sini dan telah pun mendapat sambutan yang baik dalam kalangan rakyat di Alor Setar," katanya.

-- BERNAMA