Keseimbangan calon baharu, lama beri kelebihan pada BN
Oleh Kamarul Irwan Alias
KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Hampir separuh calon Barisan Nasional yang bakal bertanding di 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini terdiri daripada muka baharu.
Berdasarkan analisis, sebanyak 245 atau 48.5 peratus daripada 505 calon kerusi DUN di seluruh negara merupakan muka baharu yang dipertaruhkan BN bagi menghadapi pilihan raya yang dikatakan paling sengit.
Selebihnya merupakan penyandang atau calon membuat kemunculan semula, yang dilihat sebagai satu pembahagian seimbang bagi mengekalkan sokongan dan merampas kembali negeri dikuasai pembangkang.
Selangor menjadi negeri paling ramai menampilkan muka baharu dengan 43 daripada 56 kerusi DUN atau 76 peratus; Kelantan - 28 calon baharu daripada 45 kerusi DUN (62 peratus); Pulau Pinang - 23 daripada 40 kerusi DUN (57.5 peratus) dan Johor - 32 daripada 56 kerusi DUN (57 peratus).
Negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Negeri Sembilan hanya mempertaruhkan 11 muka baharu daripada masing-masing 32 dan 36 kerusi DUN; Pahang - 13 daripada 42 kerusi DUN; Kedah - 15 daripada 36 kerusi DUN serta Sabah - 18 daripada 60 kerusi DUN.
Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, BN mengambil langkah tepat dengan mengetengahkan muka baharu di negeri-negeri dikuasai pembangkang bagi memberi pilihan kepada rakyat dalam menentukan kepimpinan di peringkat negeri.
"Di dalam negeri pembangkang, BN perlu lebih realistik dengan cuba mengetengahkan calon baharu, sesuai dengan pola pengundi yang ramai di kalangan pengundi muda. Ini satu strategi yang tepat dan BN mempunyai peluang di negeri Selangor," katanya kepada Bernama.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu berkata pemilihan calon baharu khususnya golongan berpendidikan tinggi dan profesional juga dapat meremajakan BN sekali gus menunjukkan golongan berkenaan mendapat tempat dalam hierarki kepimpinan di peringkat bahagian.
"Ini penting kerana pembangkang kini mengetengahkan ramai golongan profesional seperti doktor, ahli akademik dan pengamal undang-undang, selaras perubahan semasa yang memerlukan wakil rakyat peka dengan teknologi dan kemahiran terkini," tambahnya.
Katanya, pengekalan penyandang dan kembalinya calon yang pernah memenangi pilihan raya sebelum ini pula dilihat sebagai langkah BN untuk memastikan kemenangan jitu dengan mengambil kira faktor sokongan rakyat terhadap calon tersebut.
Dalam pada itu, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata BN mengambil kira faktor persekitaran dalam menamakan calon sebagai strategi menarik sokongan pengundi.
Pensyarah kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya itu berkata ini dapat dilihat dengan pemilihan calon yang dilihat popular dan dekat dengan pengundi walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.
"Di kawasan luar bandar, faktor profesional bukanlah ukuran utama tetapi sejauh mana khidmat kepada rakyat, namun di kawasan bandar, pengundi amat dahagakan calon profesional," katanya menambah kedua-dua golongan penting dalam menggubal dasar-dasar di peringkat negeri demi kesejahteraan rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.
-- BERNAMA