Anggota parti komponen BN terikat dengan peraturan, disiplin




IPOH, 26 April (Bernama) -- Semua anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah terikat dengan peraturan dan disiplin yang termaktub dalam perlembagaan parti, kata Pengerusi BN Tanjung Malim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Justeru, beliau berkata anggota BN Bahagian Tanjung Malim perlu terus menghormati keputusan pucuk pimpinan dan bekerja keras bagi memastikan calon BN mengekalkan kemenangan di kawasan Parlimen itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, DUN Behrang dan merampas kembali DUN Sungkai.

Katanya BN Tanjung Malim tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang berhimpun di Putrajaya bagi membantah keputusan pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk bertanding kerusi Parlimen Tanjung Malim.

Beliau berkata tindakan itu amat serius dan bertentangaan dengan amalan BN yang menghormati setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan parti khususnya dalam soal pemilihan calon.

"Saya menasihatkan Datuk Seri Ong Ka Chuan supaya segera meredakan perasaan pengikutnya dan memberi contoh yang baik demi perpaduan rakyat di Tanjung Malim."

"Selaku Setiausaha Agung MCA, beliau juga hendaklah menghormati keputusan Presiden partinya sendiri yang mencadangkan nama Pengerusi MCA Perak Datuk Mah Hang Soon untuk bertanding di Parlimen Tanjung Malim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khusairi berkata sebilangan yang menyertai himpunan itu juga memaklumkan kepada beliau bahawa mereka tidak diberitahu dengan jelas tujuan mereka dibawa ke Putrajaya dan sebilangan besar daripada mereka terutamanya masyarakat Orang Asli berasa tertipu.

"Malahan ada yang menyertai perhimpunan itu tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen BN, dan bukan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Malim," kata Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu.

Mohd Khusairi berkata Ong perlu ingat bahawa dirinya juga buka orang tempatan Tanjung Malim, namun diterima baik oleh pengundi sehingga beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Tanjung Malim.

"Ketika Datuk Seri Ong Ka Chuan dicalonkan di kerusi ini dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, jentera BN di Tanjung Malim tidak mengenali siapakah beliau yang datang secara tiba-tiba selaku calon, tetapi kita mengambil sikap untuk mengutamakan parti dan mengikut keputusan yang dibuat pucuk pimpinan," katanya.

Katanya, pada PRU13 lepas, Ong satu-satunya calon MCA yang mencapai kemenangan di kerusi Parlimen di Perak kerana keutamaan pengundi di Tanjung Malim bukan terhadap individu tetapi lebih kepada memastikan BN terus dapat memerintah negara.

"Saya ingin memberitahu kepada Datuk Seri Ong Ka Chuan bahawa majoriti besar pengundi di Tanjung Malim menghormati keputusan pucuk pimpinan BN menamakan calon bagi kerusi-kerusi di kawasan ini. Membantah keputusan pucuk pimpinan bukanlah budaya politik BN Tanjung Malim sebelum ini," katanya.

Ong dalam satu kenyataan hari ini, berkata beliau akan cuba memujuk kumpulan penyokongnya agar bertenang dan menyokong calon BN pada PRU14, sekalipun namanya digugurkan daripada mempertahan kerusi Parlimen Tanjung Malim.

Ong berkata beliau kesal dengan perhimpunan yang diadakan kira-kira 500 pengundi Tanjung Malim itu, yang bertujuan menggesa pucuk pimpinan BN menimbang semula pengguguran beliau.

-- BERNAMA