Calon muka baharu BN Perlis bersemangat tinggi, yakin mampu menang PRU14
KANGAR, 23 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Perlis bergitu bersemangat untuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Calon DUN Indera Kayangan, Teh Chai Ann berkata beliau yakin boleh memenangi kerusi tersebut berdasarkan sokongan majoriti pengundi mengenalinya selain bekas penyandang Chan Ming Kai yang mewakili PKR gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
"Pasukan saya dah kerja lebih dua tahun. Kami bukan sahaja telah bersedia malah akan berusaha lebih keras agar DUN Indera Kayangan kembali kepada BN serta membuktikan pilihan pucuk pimpinan BN memilih saya tidak silap," katanya.
Beliau bercakap kepada Bernama selepas majlis pengumuman calon-calon BN oleh Pengerusi BN Perlis yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Bekas anggota Exco kerajaan Perlis pada tahun 2004-2008 yang membuat penampilan semula dan dipertaruhkan di DUN Sena, Azihani Ali berkata masyarakat dalam kawasan tersebut tidak asing baginya.
"Memang saya terkejut dicalonkan namun amanah yang dipertanggungjawabkan ini perlu dilaksanakan," katanya namun anak bekas Menteri Besar Perlis itu enggan mendedahkan strateginya untuk menawan pengundi apabila ditanya.
Calon DUN Sanglang, Che Zaidi Saidin, yang merupakan anak Kampung Sanglang, berkata kekuatan BN dan PAS di kerusi tersebut boleh dikatakan seimbang namun beliau yakin BN khususnya UMNO Perlis yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat negeri ini mendapat tempat di hati pengundi Sanglang.
"Lawan saya Pesurujaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli yang dikenali menjadi halangan utama manakala calon parti Amanah, Zolkharnain Ahmad mungkin akan memecahkan undi," tambahnya.
-- BERNAMA