Penamaan calon: SPR P. Pinang minta penyokong kawal emosi

GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang meminta penyokong calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menimbulkan kekecohan pada penamaan calon esok.
Pengarah SPR negeri Md Fuad Mohd Sherif berkata mereka harus menghormati undang-undang pilihan raya dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Beliau berharap hari penamaan calon dan juga hari mengundi bagi pilihan raya umum kali ini dapat dijalankan dengan lancar dan dalam keadaan baik.
"Saya minta para penyokong parti-parti politik agar bertolak-ansur, tidak melakukan provokasi dan menghormati ketenteraman awam ketika hari penamaan calon-calon PRU14 di 13 pusat penamaan calon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
SPR telah menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 5 Mei dan hari mengundi pada 9 Mei sementara tempoh berkempen adalah 11 hari.
Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN.
Fuad menerangkan bahawa kesemua pusat penamaan calon akan dibuka dari 9 pagi hingga 10 pagi dan calon-calon hanya diberi tempoh sejam untuk menyerahkan borang-borang pencalonan mereka.
"Hanya tiga orang dibenarkan masuk ke dalam dewan penamaan calon iaitu bakal calon, seorang penyokong serta seorang pencadang dan pengistiharaan rasmi nama-nama calon yang bertanding akan diumumkan lebih kurang sejam selepas tempoh penyerahan borang ditutup," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman telah merasmikan pusat media PRU14 negeri di Tingkat 1, Bangunan MARA di Jalan Pengkalan Weld.
Katanya, pusat media ini berperanan sebagai pusat sehenti maklumat dan rujukan rasmi pengamal media untuk memperoleh info terkini berkaitan PRU14.
"Antara kemudahan yang disediakan untuk semua pengamal media termasuk jaringan internet, ruang kerja, mesin pencetak, mesin faksimili, mesin pengimbas, komputer dan minuman di ruang legar," katanya.
Tambahanya, pusat ini akan beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari yang dikendalikan 10 kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang.
-- BERNAMA