Calon PKR, Muslimin bukan setiausaha politik Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 27 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa calon Pakatan Harapan di kawasan Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya ialah setiausaha politiknya.
Ahmad Zahid yang merupakan timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan individu berkenaan hanyalah merupakan pegawai khas kepada seorang daripada setiausaha politiknya.
Bercakap pada sidang media selepas melawat sekitar Waterfront Bagan Datuk, di sini, hari ini, katanya Muslimin pernah menyuarakan hajatnya untuk bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan tidak menjangka beliau sanggup mengambil keputusan untuk menyertai PKR.
"Saya berharap pendirian beliau itu adalah pendirian individu dan tidak dikaitkan dengan setiausaha politik saya dan saya mengucapkan selamat berjaya kepadanya," katanya.
Muslimin ialah bekas setiausaha sulit kanan Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon semasa allahyarham menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan merupakan Anggota Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Sungai Besar.
Dalam pada itu, setiausaha politik kepada Ahmad Zahid, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengesahkan bahawa Muslimin merupakan seorang pegawainya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Muslimin menyertai PKR hanya selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN.
"Ini menunjukkan bahawa beliau cuba mengambil jalan pintas untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) dengan menyertai parti lawan," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa prinsip Ahmad Zahid adalah jelas iaitu tidak membenarkan mana-mana pegawainya bertanding dalam PRU.
"Ini dengan harapan agar semua pegawai beliau dapat memainkan peranan aktif dalam membantu kemenangan BN," kata Ahmad Masrizal.
-- BERNAMA