Polis nasihat laksana proses penamaan calon esok dengan berdisiplin





SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Polis menasihatkan orang ramai, penyokong parti dan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melaksanakan proses penamaan calon esok dengan berdisiplin dan bertanggungjawab supaya tidak mengganggu keselamatan serta keamanan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah membuat persiapan secukupnya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang pilihan raya umum (PRU) berlangsung.

Beliau berkata kira-kira 70 peratus daripada 150,000 anggota serta pegawai seluruh negara telah bersiap siaga dengan 15,000 polis bertugas di Selangor bagi memastikan proses PRU14 pada 9 Mei ini berjalan lancar.

"Sudah 13 kali PRU dilaksanakan dan untuk kali ke-14 ini, seharusnya kematangan boleh dibuktikan. Jangan sebab terlalu ghairah dengan politik sehingga menjejaskan keselamatan awam. Selepas penamaan calon esok, akan bermulalah kempen, tempoh ini kita akan tingkatkan pemantauan.

"Saya mengingatkan semua pihak bahawa polis tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur yang boleh mengganggu gugat keselamatan seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Polis ke-211, di sebuah pusat keagamaan Buddha Samadhi Vihara, Seksyen U12, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program berkenaan, Mohamad Fuzi berkata ia dilaksanakan setiap tahun mengikut kepercayaan dan agama masing-masing dalam memperingati sambutan Hari Polis.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan turut mengingatkan penyokong parti di negeri itu supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi ketika proses penamaan calon yang akan diadakan di 14 pusat penamaan calon iaitu empat di Kota Bharu, dua di Pasir Mas dan masing-masing satu di jajahan lain.

"Kesemua pusat penamaan calon itu akan sentiasa dikawal dengan sejumlah anggota polis mulai pukul 6 pagi supaya tidak timbul kekecohan dan tahap keselamatan sentiasa terjamin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata ada maklumat yang mengatakan terdapat calon parti yang bertanding bakal disertai seramai 8,000 penyokong esok dan jumlah itu kemungkinan boleh mencecah belasan ribu jika diambil kira semua parti bertanding.

"Kita sentiasa bersedia dengan situasi berkenaan dan sudah memanggil calon dan wakil calon supaya menasihatkan penyokong mereka agar sentiasa menjaga tatasusila ketika proses berkenaan," katanya.

-- BERNAMA