Rakyat perlu pilih calon secara rasional - MB Perlis




Datuk Seri Azlan Man berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Bintong sempena Ramadan 2018 di Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang hari ini.


KANGAR, 27 April (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mahu rakyat berfikir secara rasional dalam memilih calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini dengan mengutamakan calon Barisan Nasional (BN) yang sentiasa turun padang bagi menangani masalah rakyat.

Beliau berkata jangan memilih calon pembangkang yang disifatkannya hanya muncul menjelang pilihan raya umum seperti tupai dan kelawar yang berkunjung apabila musim buah tiba untuk memungut buah sebagai hidangan.

"Barisan Nasional konsisten dalam segala hal khususnya usaha menangani keluhan rakyat melalui program-program turun padang dan sebagainya. Memang tidak semuanya sempurna, tetapi untuk membandingkan dengan pembangkang, kita (BN) jauh lebih bertanggungjawab melalui usaha berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 2,700 orang warga emas, orang kurang upaya, miskin dan ibu tunggal yang masing-masing menerima RM150 bersempena Ramadan 2018 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di Masjid Behor Empiang di sini, hari ini.

Azlan yang merupakan calon BN di kawasan DUN Bintong berkata program bantuan tersebut sentiasa dilaksanakan oleh kerajaan BN.

"Justeru, rakyat boleh nilai sendiri dan membandingkan komitmen kerajaan BN dengan calon parti pembangkang yang berpindah kerusi selepas satu penggal. Bolehkah bergantung harap pada calon seperti ini (pindah). Jadi, buatlah keputusan secara rasional untuk memilih parti yang akan memerintah pada 9 Mei ini," katanya.

-- BERNAMA