378 borang penamaan calon dijual di Negeri Sembilan





SEREMBAN, 27 April (Bernama) -- Sejumlah 378 borang penamaan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah dijual setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Negeri Sembilan Mohd Sharil Bahari Bahari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 74 borang telah dijual bagi kerusi Parlimen manakala 304 borang bagi kerusi DUN.

"Borang penamaan calon itu telah dibeli oleh kesemua parti yang bertanding dan juga individu yang berhasrat untuk bertanding pada PRU14. Bagi individu perseorangan, sebanyak 13 borang telah dijual untuk DUN manakala lima borang lagi untuk Parlimen," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) membeli 16 borang penamaan untuk Parlimen dan 105 borang DUN manakala PAS membeli 22 borang Parlimen, 70 borang DUN; DAP (lapan borang Parlimen dan 32 borang DUN) manakala PKR (13 borang Parlimen, 48 borang DUN).

Selain itu katanya, parti Amanah pula membeli enam borang penamaan untuk kerusi Parlimen dan 21 borang DUN; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (empat borang Parlimen, 12 borang DUN) manakala Parti Alternatif Rakyat (PAP) (tiga borang DUN).

SPR menetapkan hari penamaan calon pada esok, manakala hari pengundian pada 9 Mei dan pengundian awal, 5 Mei.

Negeri Sembilan mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN serta memiliki pengundi berdaftar sehingga suku tahun keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April lepas sejumlah 607,793 orang pengundi.

Parlimen Seremban merekodkan jumlah pengundi tertinggi iaitu seramai 110,168, diikuti Rasah (102,838), Rembau (88,365), Port Dickson (sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang) (75,212), Jempol (72,122), Tampin (60,765), Kuala Pilah (49,801) dan Jelebu (48,522).

-- BERNAMA