PCS, Anak Negeri bergandingan di Sabah





KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Dua parti tempatan di Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) akan bergandingan dalam Pilihan Raya Umun ke-14 dengan bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 kerusi Parlimen.

Dalam pengumuman bersama di sini hari ini Presiden PCS Datuk Wilfred Mojilip Bumburing berkata , partinya akan bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN manakala Presiden Anak Negeri Datuk Henrynus Amin mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.

Bumburing akan mempertahankan kerusi DUN Tamparuli , manakala Henrynus, bekas setiausaha agung PBS akan bertanding di DUN Kundasang.

Penyandang kerusi DUN Kapayan Dr Edwin Bossi, yang memenangi kerusi itu di bawah tiket DAP dalam PRU13, dipilih bertanding di kerusi Parlimen Penampang di bawah tiket Anak Negeri.

PCS akan mempertaruhkan dua calon wanita termasuk bekas angota DUN Matunggong Jornah Mozihim yang akan mencuba nasib di kerusi DUN yang sama kali ini.

Beliau memenangi kerusi DUN Matunggong di bawah tiket PBS dalam PRU11 pada 2004 tetapi tidak bertanding dalam PRU12 pada 2008.

-- BERNAMA