PRU14: elak politik kebencian semasa kempen - Chong

SEREMBAN, 27 April (Bernama) -- Politik kebencian harus dielakkan semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata politik kebencian adalah satu budaya yang tidak baik kerana ia merugikan rakyat serta negara.
"Kita sekarang berhadapan dengan cabaran tersebut. Politik kini bukan lagi politik untuk memilih siapa yang mentadbir kerajaan dengan dasar lebih baik, tetapi satu pakatan politik yang akan mengubah budaya kita."
"Oleh itu, berpolitiklah secara sihat dan mengikut lunas undang-undang, dan yang penting kita hendaklah menjaga dan mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen gotong-royong membersihkan masjid di Parlimen Seremban di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata kerajaan meletakkan prinsip asas membina Malaysia yang bersatu padu dan harmoni menerusi rakyat berbilang kaum serta hidup bersama dengan aman dan makmur.
Katanya pilihan raya adalah manifestasi amalan demokrasi sihat di negara ini, dan diharapkan bakal menyaksikan pertandingan sihat berasaskan kepada keinginan pihak yang bertanding untuk mengemukakan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Sementara itu, beliau berkata FB Page Den Anak Seremban akan menganjurkan kempen gotong-royong membersihkan masjid di Parlimen Seremban.
"Ada seorang penderma hendak memberi sokongan kepada kita menganjurkan kempen tersebut di Parlimen Seremban. Sumbangan diberikan mengandungi 40 baju-T untuk setiap masjid dan alat yang akan digunakan dalam program tersebut serta jamuan."
"Semua anggota jawatankuasa masjid terbabit boleh mengadakan program tersebut dalam masa terdekat dan mengikut tarikh yang sesuai,\" katanya.
Di Parlimen Seremban, beliau berkata terdapat 22 masjid, melibatkan sembilan buah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, DUN Nilai (7), DUN Temiang (3), DUN Ampangan (2) dan DUN Sikamat (1).
Chong berkata program itu adalah usaha yang digerakkan Den Anak Seremban dalam usaha mensejahterakan kawasan Parlimen Seremban.
"Parlimen Seremban luas termasuk bandar, pinggir bandar, luar bandar, kampung tradisi, kampung baru dan kampung Orang Asli. Kadang-kadang kita hanya berada dalam satu zon keselesaan kita sendiri, tidak kenal sebenarnya apa Seremban dan banyak merujuk kepada bandar sahaja."
"Seremban tidak boleh kekal begitu dan kita hendak membawa perubahan sebab Seremban akan dinaik taraf sebagai bandar raya tahun depan. Sesuatu mesti dilakukan untuk mengubah keadaan di Seremban. Kita berharap usaha ini mendapat sokongan semua kaum dalam kita mengangkat martabat sebagai anak Seremban," katanya.
-- BERNAMA