Tat keju 'BN' paling laris
KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Biasanya kuih tat dibuat hanya pada musim perayaan dan kurang mendapat sambutan pada waktu biasa tetapi selera penggemar kuih tat semakin berubah lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kini kuih tat semakin berubah wajah apabila seorang pengusaha pastri sambilan mengambil kesempatan untuk memperkenalkan kuih tat 'politik' dengan logo parti politik tertera di atas tat keju.
Antara logo popular yang semakin mendapat tempat di hati penggemar kuih tat keju ialah logo Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.
Pengusaha kuih berkenaan, Nor Hazwani Mat Radzi, berkata kuih tat keju dengan lambang parti politik mula mendapat sambutan sejak seminggu lalu dan beliau mampu meraih jualan lebih RM200 sehari.
Bekerja sebagai kerani di sektor swasta, wanita muda berusia 23 tahun itu hanya menghasilkan kuih tat keju secara sambilan di rumahnya di Puchong, dekat sini, dan kini tidak menang tangan menerima tempahan dalam talian menjelang PRU14.
"Saya banyak terima tempahan khususnya dari parti politik yang bertanding untuk diberikan kepada orang ramai dalam majlis dan ceramah mereka. Tat keju (BN) paling laris dijual," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata produknya itu menerima reaksi positif daripada pelanggan kerana keunikan corak dan keenakan kuih tat keju itu.
"Saya cuba lukiskan sesuatu yang lebih menarik dan unik kerana tat keju yang kebiasaannya dijual di luar sana hanya bercorak ringkas," katanya.
Perniagaan yang diusahakannya sejak tigatahun lepas itu turut menerima tempahan bagi majlis pertunangan, perkahwinan serta perayaan.
Tat keju edisi PRU14 itu dijual di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan sekotak mengandungi 25 biji dijual pada harga RM45.
-- BERNAMA