MIC Perak sifat letak calon UMNO Di Hutan Melintang Satu Strategi Baharu
SITIAWAN, 27 April (Bernama) -- MIC Perak menyifatkan keputusan meletakkan calon UMNO bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah satu strategi baharu dalam usaha merampas semula kerusi di DUN tersebut.
Pengerusinya, Datuk V Elango berkata pertukaran kerusi tradisi MIC di DUN tersebut dengan UMNO tidak menjadi isu dan bukan perkara baharu dalam komponen Barisan Nasional (BN).
"Dulu sebelum tahun 1990, Hutan Melintang ini kerusinya dipegang UMNO. Masa itu kita tukar yang mana Pangkor diberikan kepada UMNO, Hutan Melintang pula diberikan kepada MIC dan kali ini ia bertukar lagi.
"Jadi ini bukan perkara baharu kerana matlamatnya adalah satu dalam mencari majoriti kemenangan DUN untuk memastikan BN terus memerintah negeri Perak," katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Hak Milik Individu di kawasan 5 Lot Kampung Deralik, di Dewan Ladang Sungai Wangi ,di sini hari ini.
Beliau berkata persoalan merampas kerusi yang dipegang MIC selama enam penggal itu tidak timbul kerana persefahaman telah dicapai melalui perbicangan di peringkat BN pusat.
"Ini adalah komitmen antara parti BN dan kita sentiasa patuh dan menerima keputusan pucuk kepimpinan dan kita yakin UMNO dapat merampas kembali kerusi DUN Hutan Melintang dengan kerjasama dan sokongan padu komponen-komponen BN termasuk MIC," katanya.
Pada PR13, kerusi DUN Hutan Melintang dimenangi oleh wakil PKR, S. Kesavan dengan majoriti 1,240 undi.
Selasa lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi sebagai calon BN di DUN Hutan Melintang pada PRU14.
Mengulas mengenai pencalonannya di kerusi DUN Sungkai, Elango berkata beliau mendapat sokongan padu dari kesemua parti komponen BN dalam usaha merampas kembali kerusi di DUN tersebut.
"Seluruh parti BN memberi komitmen sepenuhnya untuk merampas kembali DUN Sungkai, Hutan Melintang dan Parlimen Sungai Siput yang dipegang calon MIC dan saya yakin kita boleh menang di setiap DUN dan Parlimen tersebut," katanya.
-- BERNAMA