Buat keputusan bijak, agar tidak menyesal kemudian hari Dr Subramaniam




File Bernama

SEGAMAT, 27 April (Bernama) - Penyandang kerusi Parlimen Segamat Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengingatkan pengundi di kawasan parlimennya agar membuat keputusan bijak dalam memilih parti pada hari mengundi agar mereka tidak menyesal di kemudian hari.

"Kalau silap membuat pilihan dalam masa tiga minit sahaja, pengundi terpaksa merana selama lima tahun seperti apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah lima tahun lalu.

"Tengok sendirilah apakah sumbangan yang dilakukan oleh parti pembangkang di sana (Jementah) ..kosong..tiada apa pun," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Walkathon Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Parlimen Segamat di Padang Awam, Batu Anam, dekat sini hari ini.

Turut hadir calon BN di DUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip dan calon BN DUN Jementah Chiam Yok Meng.

Dr Subramaniam berkata pengundi perlu faham dan tahu dengan jelas apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN yang telah banyak membantu rakyat dan tidak mengambil keputusaan silap berdasarkan emosi semata-mata ketika hari mengundi pada 9 Mei nanti.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan itu berkata dalam masa sepuluh hari ini banyak perkara yang dilakukan oleh parti pembangkang bagi meracuni minda pengundi Segamat dengan harapan rakyat lupa siapa yang bekerja untuk membantu rakyat selama ini.

Katanya walaupun DUN Jementah berada dalam tangan parti pembangkang, kerajaan BN terus membantu rakyat tanpa memilih warna parti dengan menyediakan pelbagai projek pembangunan seperti jalan raya, sekolah dan lain-lain.

"Hanya kerajaan BN yang mampu melakukan perkara sebegini kerana kami wakil rakyat BN bekerja untuk rakyat, jadi saya harap pengudi akan terus memberi mandat kepada BN bagi meneruskan agenda pembangunan bukan hanya di Segamat atau Johor tapi di seluruh negara," katanya.

Mengenai peranan Jalinan Rakyat (JR) dan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) dalam membantu jentera PRU BN, Dr Subramaniam berkata wanita merupakan tulang belakang kepada BN kerana mereka banyak berkorban demi parti dalam menyampaikan masej kerajaan kepada semua rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau menasihati jentera BN agar berkerja sebagai satu pasukan dan sentiasa peka dengan apa yang berlaku bagi membetulkan kerosakan yang sedang dilakukan oleh parti pembangkang dalam usaha mereka meraih undi rakyat.

-- BERNAMA