Pemuda BN Labuan lancar jentera pilihan raya
LABUAN, 27 April (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Labuan melancarkan jentera pilihan raya parti gabungan itu dengan menggesa golongan muda di pulau bebas cukai ini supaya memperkukuhkan perpaduan.
Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata jentera itu bermatlamat menyatupadukan sayap Pemuda dalam parti komponen BN untuk memperteguhkan barisan dan bersedia sepenuhnya untuk membantu kemenangan calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kita mesti memperkukuhkan perpaduan untuk menepis sebarang elemen yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini, terutamanya golongan muda," katanya pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di sini.
Rafi, yang juga setiausaha politik Menteri Wilayah Persekutuan berkata, calon BN yang juga penyandang kerusi Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, gigih memperjuangkan pelbagai isu yang membelenggu penduduk di pulau ini, termasuk keperluan golongan muda.
"Beliau mengetengahkan isu cadangan yang lama tertunggak iaitu cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah, dan perdana menteri telah meluluskan pembinaannya.
"Beliau turut membantu menjadikan pembinaan litar lumba motor suatu kenyataan, dan projek itu dimulakan tahun ini. Justeru, kita mesti memastikan kemenangan yang besar dan lancar bagi calon kita sebagai hadiah kepada BN dan perdana menteri," katanya.
Pemimpin Pemuda BN daripada MCA, MIC, UPKO, Gerakan dan PBS turut berikrar untuk membantu memastikan calon BN meraih tidak kurang daripada 12,000 majoriti undi dalam PRU14, dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 90 peratus.
-- BERNAMA