Calon BN di Batu Kawan yakin tarik pengundi Cina
BUTTERWORTH, 27 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Batu Kawan yakin mampu meraih undi daripada masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).
Datuk Jayanthi Devi Balaguru berkata, ia berdasarkan sambutan yang diberikan oleh pengundi daripada masyarakat Cina di kawasan berkenaan dilihat begitu memberangsangkan.
Katanya, walaupun mengetahui kawasan berkenaan merupakan kubu kuat DAP, namun pihaknya sudah pun menjalankan kegiatan-kegiatan pembangunan bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit yang disuarakan penduduk setempat.
"Kami dapat banyak maklum balas daripada masyarakat di Perai, Bukit Tengah dan juga Bukit Tambun berhubung isu-isu yang tidak mampu diselesaikan oleh parti pemerintah setelah dua dekad memerintah.
"Antara isu yang sering dihadapi penduduk adalah isu banjir dan perparitan, perumahan yang dilihat tidak memberi faedah kepada penduduk serta isu-isu sensitif seperti pemilikan lot tanah kuil Hindu di Kampung Main Road (Perai). Jadi jika diberi mandat, kita akan selesaikan apa yang tidak mampu diselesaikan oleh mereka (DAP)," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau juga menyeru sama ada calon mahupun penyokong sesebuah parti politik untuk mengamalkan politik matang agar perjalanan PRU14 kelak berjalan lancar.
"Kita tidak mahu melihat taktik politik kotor dan jadilah matang kerana kita dapati di DUN Perai terdapat kejadian cabut bendera yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Itu sepatutnya tidak berlaku," katanya.
Sementara itu, calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai M. Suresh menyeru masyarakat di kawasan berkenaan supaya membuat pilihan yang rasional dan bukannya dipengaruhi emosi berdasarkan keperitan yang mereka lalui kesan parti pemerintah DAP selama 10 tahun memerintah yang disifatkannya sebagai acuh tidak acuh.
"Jadi, jika diberi mandat mentadbir, kami akan pastikan segala kemelut penduduk di sini dapat diselesaikan di samping memperbanyakkan rancangan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemajuan penduduk terjamin," kata Suresh yang merupakan seorang jurutera.
-- BERNAMA